BM | EN | 中文

Mohd Tamrin didakwa buat komunikasi jelik terhadap kerabat Diraja Johor

Datuk_Mohd_Tamrin_Abdul_Ghafar-_Bernama.jpg

Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar (kiri) tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini (Gambar Ehsan Bernama)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 10 MAC: Bekas ahli parlimen Batu Berendam Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Johor menerusi catatan di blog, tahun lepas.

Mohd Tamrin, 71, yang juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, Mohd Tamrin dengan menggunakan blog “tamrintunghafar” di pautan https:/tamrintunghafar.blogspot.com didakwa secara sedar membuat komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain, yang dibaca di laman ‘Page Facebook Dato Tamrin Tun Abdul Ghafar’.

Advertisement

Catatan itu membabitkan artikel mengaitkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mohd Tamrin didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Media RPO Services, Jalan Persiaran Southkey 1, Kota Southkey di sini, kira-kira 7 malam, 2 Februari 2020.

Mohd Tamrin didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Advertisement

Pendakwaan yang dikendalikan Ketua Unit, Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam Datuk Yusaini Amer Abdul Karim dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman menawarkan jaminan RM20,000 terhadap Mohd Tamrin.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan tidak lebih RM5,000 dengan alasan Mohd Tamrin kini seorang penganggur dan mempunyai masalah jantung yang memerlukan rawatan bulanan di Institut Jantung Negara (IJN).

Wan Mohd Norisham membenarkan Mohd Tamrin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top