BATU PAHAT, 7 OKT : Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar akan berusaha memastikan semua premis klinik desa dan klinik kesihatan di bawah Parlimen Tanjung Piai berada dalam keadaan baik dan selamat.
Menurutnya, bangunan-bangunan berkenaan yang dibina pada tahun 1968 dan awal 70-an dan berusia lebih 30 tahun sepatutnya perlu diperiksa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Esok saya akan ke Pontian untuk melihat progres (proses) penambah baik sistem pengurusan gas oksigen dan kerja-kerja yang telah dijalankan kerana sudah lama tertangguh di bawah kerajaan lama.
“Saya juga akan melawat ke klinik desa dan klinik kesihatan di kawasan Parlimen Tanjung Piai untuk melihat sendiri apakah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas melancarkan Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri di Ayer Hitam, di sini, semalam.
Ditanya tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang bakal berlangsung bulan depan, Adun Semerah itu menjawab pelbagai pembaharuan yang dilakukan sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.
“Naik taraf dan menambah baik infastruktur Jeti Tanjung Piai antara projek yang dilaksanakan kerajaan baharu bagi keselesaan pengunjung Malaysia dan Indonesia.
“Malahan, Allahyarham Datuk Wira Dr Mohd Farid Mohd Rafik sudah banyak lakukan perubahan di kawasannya,” katanya lagi.
Terdahulu, penyandang Ahli Parlimen Tanjung Piai, Dr Mohd Farid meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Pontian pada 21 September lepas.
Johorkini