JOHOR BAHRU, 14 OKT: Kulim (Malaysia) Bhd (Kulim) hari ini mengumumkan pelantikan Mohd Faris Adli Shukery sebagai Pengarah Urusannya yang baharu, berkuatkuasa 1 Oktober lepas.

Mohd Faris Adli Shukery
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, syarikat itu berkata pelantikan berkenaan adalah bagi mengisi kekosongan jawatan selepas Pengarah Eksekutifnya, Zulkifly Zakariah bersara pada 16 September lalu.
Mohd Faris, 48, merupakan pemegang Ijazah Sarjana dan Ijazah Perundangan dari United Kingdom serta mempunyai pengalaman luas termasuk kepakaran lebih 20 tahun dalam sektor perladangan, hartanah dan kewangan.
“Beliau pernah menyandang jawatan merangkumi bidang pembangunan perniagaan, perancangan korporat, komunikasi dan operasi perniagaan.
“Sebelum menyertai Kulim, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Sabah di Sime Darby Plantation,” kata syarikat itu.
Selain itu, beliau juga pernah bertugas di Sime Darby Oils, Sime Darby Property, AmMerchant Bank dan Bursa Saham Kuala Lumpur.
Bernama