BM | EN | 中文

MKN perlu kaji cadangan Piala Malaysia diteruskan di venue tiada PKPB

Piala-Malaysia-1.jpg

Gambar Ehsan Semuanya Bola

Advertisement

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Beberapa jurulatih Liga Malaysia (Liga-M) berpandangan cadangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) agar saingan Piala Malaysia diteruskan di tempat tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) harus diperhalusi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak menjelaskan skuad Lang Merah bersedia meneruskan saingan Piala Malaysia di gelanggang berkecuali yang dipohon oleh MFL iaitu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pengendali kelahiran Singapura itu yakin barisan pemain skuad Lang Merah tidak berdepan masalah untuk beraksi dengan perancangan khas serta prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat seperti yang dicadangkan MFL.

Advertisement

“Harap-harap kita masih boleh meneruskan saingan ini (Piala Malaysia) tetapi apa-apa pun kami tetap akan menghormati apa jua perancangan daripada MFL dan juga keputusan daripada kerajaan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL semalam.

“Yand penting keselamatan semua orang, dan untuk saya, tiada masalah pun kita beraksi di venue berkecuali, termasuk dari segi persiapan pemain juga tiada masalah sebab pasukan lain pun seperti kita juga,” kata Aidil yang membimbing Kedah layak ke final Piala Malaysia pada musim lepas.

Pandangan sama turut disuarakan pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid yang menyifatkan rayuan yang dikemukakan oleh MFL itu adalah wajar memandangkan saingan Piala Malaysia hanya tinggal beberapa perlawanan sahaja.

Advertisement

“Kalau kita tengok perlawanan juga tidaklah banyak, dan MFL membuat cadangan yang baik untuk kita beraksi di venue berkecuali kerana hanya itu sahaja penyelesaian yang kita ada,” kata Manzoor Azwira.

MFL dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan sudah mengemukakan rayuan kepada MKN untuk meneruskan saingan Piala Malaysia 2020 dengan perancangan khas dengan mengadakan aksi suku akhir, separuh akhir dan final di venue berkecuali, iaitu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan MKN memutuskan saingan Piala Malaysia 2020 akan ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan.

Advertisement

Aksi suku akhir Piala Malaysia 2020 menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menentang Kuala Lumpur; Pulau Pinang berdepan UiTM FC; Terengganu FC melawan Perak dan Kedah berdepan juara 33 kali Selangor.

Pusingan pertama Piala Malaysia berlangsung dari 6 hingga 8 Nov lalu, sementara aksi suku akhir dijadual pada 12 dan 13 Nov, separuh akhir (17 Nov) dan final pada 22 Nov ini.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top