BM | EN | 中文

MISI JEJAK ‘BUDAK SCENE’ JOHOR

WhatsApp-Image-2019-08-08-at-10.36.07-AM.jpeg

ADA banyak ‘space’ atau ruang seni budaya dan keusahawanan kreatif yang dibangunkan oleh anak-anak muda di Johor, namun tidak banyak pihak ambil pusing tentang kewujudannya.

Barangkali mungkin kerana sebahagian daripada mereka ingin mengekalkan kejituan dan mengambil pendirian bahawa ruangan tersebut adalah eksklusif, maka tak perlu heboh-heboh tentang keberadaan mereka.

Ada juga sebahagian daripada mereka tidak alah untuk bergaul bersama masyarakat setempat, walaupun pada asalnya penampilan kelompok ini kelihatan aneh, dalam masa yang sama terus giat mempromosi dan mengongsikan hobi dan kegemaran mereka, iaitu kesenian, dengan tumpuan kepada persembahan muzik.

“Kadang kala kita pun tak sangka, rupa-rupanya pekan-pekan kecil pun ada followers.

“Sebab itu kita kena berani untuk cuba anjur acara di tempat seperti disini,” kata Pio, penggerak Bypass Online ketika ditemui Johorkini di Warung Orkes, di Kulai baru-baru ini.

Pio, 30, bersama rakan-rakannya kini dalam siri jelajah bagi mempromosi konsert ‘Hey Rock, Lets Roll’ yang bakal berlangsung di City Plaza, Johor Bahru pada 17 Ogos ini.

Beberapa konsert kecil atau satellite event kepada acara kemuncak mereka nanti. Kata Pio, melalui jaringan di pekan-pekan kecil sekitar Selatan Johor, mereka berjaya melakukan drumming up dan puluhan tiket telah pun berjaya dijual.

Antaranya termasuk di Warung Orkes, sebuah kafe konsep kecil di Lorong Ismail, Kulai. Pada asalnya space tersebut diwujudkan hanya untuk menjadi tempat lepak peminat muzik dan penggerak teater.

Tanpa disangka ia ‘melarat’ jadi warung makan. Dengan menu sederhana, kopi o kaw, iwak lele (ikan keli) dengan ayam penyet antara popular. Warung Orkes juga menyediakan perkhidmatan delivery dengan motorsikal ke lokasi sekitar pekan Kulai.

“Ada dua perkara penting. Pertama, kita mahu mengingatkan semula tentang City Plaza, sebuah tempat dimana anak muda counter-culture di Johor Bahru bertemu dan berkongsi minat yang sama.

“Kedua, menggabungkan bakat muzik kugiran di kawasan kampung atau pinggir daerah Johor Bahru bersama mereka yang sudah establish.

“Jadi ia boleh dianggap sebagai ‘win-win situation’. Orang lama dapat bertemu peminat lama, yang baru dapat perkenalkan diri,” kata Cech Andrea, yang mengusahakan Malaya Roll, rakan kerjasama Pio dan orang kuat konsert ‘Hey Rock, Lets Roll’.

Tambah Cech, setiap ruang memiliki nostalgia dan ingatan. Kepadanya secara peribadi, banyak yang dipelajari. Mengenai seni muzik, ilmu mengenai pengurusan acara dan paling penting, jaringan karyawan tempatan.

Kedua mereka, Pio dan Cech mengakui banyak ringgit dan sen yang mengalir dan sering pula tak balik modal. Namun, kerana minat mendalam usaha yang dilakukan memberikan kepuasan.

Malah mereka tidak menolak kemungkinan untuk menjadikan konsert yang dianjurkan sebagai acara tahunan.

“Biasanya orang ke KL (Kuala Lumpur) untuk acara sebegini. Kali ini kita nak ajak pula mereka turun ke JB (Johor Bahru).

“Nak buat kena ‘berani mati’, dan kerana passion,” kata Pio.

Terbaharu, Bypass Online dan Malaya Roll merancang untuk menembusi ‘pasaran’ baru, melalui satellite gig mereka di kalangan peminat motosikal iaitu di Fulltank Cafe, Bandar Baru Uda.

“Mungkin mereka OK dengan muzik kita, dan mungkin juga kita tak sangka ada pakcik dan makcik yang suka,” kata Pio.

“Tapi, kita bukan sekadar nak anjurkan gig, tapi kita juga nak tahu di mana budak-budak scene (penggiat muzik underground) Johor sembunyi,” tambahnya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top