BM | EN | 中文

Minyak Beku perlu diangkat jadi destinasi pelancongan – Adun Senggarang

2.jpg

Suasana petang hari di pantai Minyak Beku, Batu Pahat

BATU PAHAT, 30 JUN: Minyak Beku, di Batu Pahat merupakan destinasi yang berpotensi untuk dijadikan pusat pelancongan, kata Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim.

Menurut beliau, selain mempunyai pantai dengan pemandangan yang indah, Minyak Beku juga mempunyai sejarah dan tempat yang menarik untuk dikunjungi.

Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim

Katanya, sebelum ini beliau telah memperjuangkan perkara itu agar pantai Minyak Beku dinaiktaraf sebagai pusat tumpuan pelancong tempatan dan juga luar negara.

“Tanjung Telaga, Pantai Minyak Beku terdapat bekas rumah pasong berusia lebih 100 tahun (1893).

“Selain itu juga terdapat kawasan tadahan air tawar dan makam keluarga Orang Kaya Setia Daeng Ahmad iaitu pemerintah Minyak Beku kurun ke-19.

“Juga terdapat perigi dipercayai merupakan sejarah asal usul nama Batu Pahat dan juga di Bukit Segenting yang terdapat rumah api dibina oleh persatuan Jepun pada 1978 dengan melibatkan kos sebanyak RM 27 juta bagi menggantikan rumah api Pulau Sialu.

“Di Pulau Sialu juga terdapat bekas penempatan orang asli suku Kuala dan di sana juga terdapat rumah api yang dibina pada tahun 1894,” jelasnya.

[ Foto Esei ‘Senja di Minyak Beku, Batu Pahat’ Oleh Amni Jagat ] 

Beliau turut mengharapkan agar pihak kerajaan dan pihak berkuasa membangunkan tempat tersebut bagi menarik pelancong serta menyelenggara tempat tersebut secara tersusun.

“Namun menjadi pertanyaan mengapa tempat tersebut dibiarkan tidak terurus dengan semak samun, infrastruktur yang tidak memuaskan, jalan masuk yang sempit serta khazanah yang tidak diwar-warkan.

“Selain Minyak Beku di Batu Pahat juga terdapat destinasi yang mampu menarik orang ramai berkunjung di daerah tersebut namun ia tidak digembar-gemburkan bagi menarik perhatian awam.

“Saya mengharapkan agar kerajaan segera melakukan sesuatu bagi membangunkan tempat berkenaan untuk menjadi tumpuan orang ramai.

“Selain itu, peluang kepada penduduk tempatan untuk berniaga juga perlu diberikan untuk menambah pendapatan penduduk setempat,” jelasnya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top