JOHOR BAHRU, 13 OGOS: Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang juruteknik syarikat percetakan yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana memiliki tujuh cap doktor dipercayai milik sebuah hospital tiga tahun lepas.
Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan rayuan Shahrizal Shukor, 38, yang diwakili peguam Abd Rahim Ali dan Jihad Syahida Nadia Zakaria, terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 18 Februari, 2019.
Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Shahnaz Sulaiman berkata keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati dua daripada empat elemen pertuduhan berhubung kesalahan memiliki cap doktor tidak dipenuhi.
Beliau juga mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak membuat justifikasi ketika membuat sabitan terhadap tertuduh.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suriani Ujang.
Mengikut pertuduhan, Shahrizal didakwa memiliki tujuh cap doktor yang dikatakan daripada sebuah hospital serta salinan asal 70 sijil cuti sakit yang tidak sepatutnya berada dalam milikannya dengan niat digunakan bagi tujuan pemalsuan.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Blok 18, Jalan Desa Kempas 1, Taman Desa di sini, pada pukul 2.30 pagi, 5 Mei 2017.
Bagi kesalahan itu, Shahrizal didakwa mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Bernama