BM | EN | 中文

MILIKI DAGING LEMBU TAK DILULUSKAN, PEMANDU TEKSI DIDENDA RM5,000

mahkamah.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 10 SEPT: Seorang pemandu teksi didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini, kerana memiliki 245 kilogram daging lembu yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan, Mei lepas.

Majistret Nurasidah A Rahman turut memerintahkan Abdul Malik Mohamad, 35, yang berasal dari Taman Senai Indah, dekat Kulai, dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, Abdul Malik selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa memiliki daging lembu yang telah dilapah itu di Ladang Kelapa Sawit Batu 20, Jalan Sungai Tiram, Kampung Pasir, Ulu Tiram, di sini, kira-kira 5.45 pagi, 5 Mei lepas.

Advertisement

Dia didakwa mengikut Sub Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953 (Pindaan) 2013 (Akta A 1452) dan boleh dihukum mengikut Kaedah 17 (Pindaan) 2018 Kaedah yang sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000.

Mengikut fakta kes, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor (JPVNJ) menyerbu kawasan ladang kelapa sawit berkenaan pada 5 Mei lepas dan bertindak merampas 245 kilogram daging lembu berkenaan bersama sebilah kapak dan parang yang dipercayai digunakan untuk menyembelih dan melapah haiwan berkenaan.

Advertisement

Pemeriksaan lanjut JPVNJ mendapati daging lembu itu disahkan tidak sesuai dijadikan makanan manusia dan disyorkan untuk dilupuskan.

Pegawai Pendakwa JPVNJ Mohd Faiz Ajis memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap Abdul Malik kerana daging lembu terbabit tidak memiliki perakuan kesihatan yang dikhuatiri dijangkiti penyakit Brusellosis yang mana ia boleh memberi kesan pelbagai penyakit ke atas manusia, termasuk tibi dan kemandulan.

Abdul Malik yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun, memohon mahkamah meringankan denda atas alasan hanya bekerja sebagai pemandu teksi dengan pendapatan RM30 sehingga RM50 sehari serta menanggung isteri dan tiga anak.

Advertisement

Nurasidah kemudian menjatuhi hukuman denda RM5,000 dan memerintahkan Abdul Malik dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda terbabit serta barang kes iaitu sebilah kapak dan parang diarah diserahkan pada JPVNJ untuk dilupuskan.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top