BM | EN | 中文

MFL tangguh permulaan semula Liga Malaysia ke 28 Ogos

Liga-Bolasepak-Malaysia-MFL.png

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan untuk mengubah tarikh permulaan semula Liga Malaysia (Liga-M) daripada 26 ke 28 Ogos, selepas mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarahnya, semalam.

Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuklah pengumuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan juga Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), berkaitan penangguhan baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2020/ Piala Asia 2023 akibat pandemik COVID-19.

Faktor lain juga disebabkan penglibatan juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia yang akan bermula pada Oktober, selain penangguhan Kejuaraan AFF Suzuki 2020 juga kerana pandemik tersebut.

Ab Ghani percaya, perubahan itu akan memberikan kelebihan kepada pasukan bertanding kerana mereka hanya akan bermain pada hujung minggu, selain mendapat masa rehat lebih panjang dan persediaan antara satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Pada masa yang sama, MFL optimistik perubahan tarikh itu juga akan membolehkan pasukan boleh berehat dan masa perjalanan yang lebih fleksibel, antara empat je enam hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Apa yang pasti, berikutan penangguhan kelayakan peringkat Asia untuk Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, MFL kini mempunyai tarikh tambahan dari 10-29 Nov jika berlaku komplikasi akibat pandemik COVID-19 di negara kita,” kata Ab Ghani lagi.

Sementara itu beliau turut mengesahkan tiada penurunan kepada dua pasukan terbawah pada Liga Premier 2020 selepas Liga Bola Sepak Amatur (AFL) membuat keputusan membatalkan Liga M3 2020 (sebelum ini dikenali sebagai Liga FAM) akibat pandemik itu.

Bagaimanpun beliau menyatakan format Liga-M pada masa ini terus kekal untuk musim hadapan, dengan dua pasukan paling bawah Liga Super akan turun ke Liga Premier, manakala juara dan naib juara Liga Premier 2020 akan dinaikkan ke Liga Super 2021.

Sementara itu Ab Ghani mendedahkan yang MFL telah menjadualkan semula tarikh perlawanan Piala Malaysia berikutan perubahan terkini.

Pertandingan bola sepak tertua negara itu akan bermula dan perlawanan peringkat 16 pasukan dari 16 hingga 18 Okt, diikuti dengan separuh akhir (24-25 Okt), separuh akhir (30-31 Okt) dan final pada 7 Nov.

Berikutan permulaan Liga-M pada 28 Ogos, dua perlawanan Liga-M yang ditunda akan dilangsungkan pada 22 Ogos, melibatkan perlawanan Liga Super antara Petaling Jaya City FC bertemu Terengganu FC di Stadium Petaling Jaya di Kelana Jaya, dan perlawanan Liga Premier antara UKM FC dan Kelantan di Stadium Selayang.

MFL telah menangguhkan perlawanan Liga-M sejak 16 Mac akibat pandemik COVID-19.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top