BM | EN | 中文

MFL lulus permohonan 16 pasukan Liga M jalani latihan fasa pertama

Liga-Bola-Sepak-Malaysia-MFL.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Enam belas pasukan Liga Malaysia (Liga-M), masing-masing lapan pasukan Liga Super dan Liga Premier, telah mendapat kelulusan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengadakan sesi latihan fasa pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan semalam berkata pasukan-pasukan berkenaan mendapat lampu hijau selepas melengkapkan beberapa dokumen yang diperlukan MFL selaku pentadbir Liga-M.

Dokumen berkenaan adalah laporan keputusan ujian swab, venue latihan berdaftar yang sudah melalui proses nyah kuman atau sanitasi, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan, serta pelantikan pegawai penyelaras bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di padang terbuka.

Advertisement

“Latihan fasa pertama bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum kita melanjutkan proses kepada fasa kedua. Saya turut melihat setiap pasukan telah mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu perlu mematuhi penjarakan sosial sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak.

“Saya berharap kesemua pasukan yang telah memberikan kerjasama penuh ini dapat memastikan perubahan fasa sesi latihan ini kepada fasa kedua dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya, lapor Bernama.

Lapan pasukan Liga Super yang diluluskan permohonan adalah UiTM FC, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC), Perak, Melaka, Felda United FC dan Kedah, manakala lapan pasukan Liga Premier adalah Negeri Sembilan, Selangor II, JDT II, TFC II, Pulau Pinang, Kuching FA, Perak II dan Kuala Lumpur.

Advertisement

Mengenai kedudukan pasukan Liga Super, PJ City FC, Ab Ghani memaklumkan permohonan pasukan berkenaan masih belum diluluskan kerana mereka masih belum menentukan venue latihan tertutup, walaupun berjaya melengkapkan beberapa dokumen lain seperti laporan keputusan ujian swab, surat pengesahan ujian saringan oleh doktor pasukan serta nama pegawai penyelaras.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani berkata tiga pasukan Liga Super iaitu Pahang, PDRM dan Sabah, serta empat pasukan Liga Premier iaitu Kelantan, Kelantan United FC, UKM FC dan Sarawak United FC, masih belum menghantar permohonan untuk sesi latihan fasa pertama kerana masih menunggu keputusan ujian swab.

“Saya percaya ia akan selesai dalam sedikit masa lagi. Kita berharap supaya semua pasukan bersedia lebih awal jika kita mendapat kelulusan untuk memulakan liga lebih awal iaitu pada Ogos nanti,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata sekiranya semua selesai mengikut jadual, ia bukan sahaja memberi kelebihan kepada semua pasukan malahan turut membantu persiapan skuad kebangsaan mengharungi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Walaupun saingan Liga-M mungkin diawalkan dari September kepada Ogos, Ab Ghani menegaskan bahawa saingan Liga Super dan Liga Premier akan diteruskan mengikut perancangan asal iaitu setiap pasukan akan beraksi dalam baki tujuh perlawanan, manakala format Piala Malaysia juga tidak berubah.

MFL sebelum ini mengubah format Liga-M 2020 dengan merancang meneruskan saingan Liga Super dan Liga Premier bermula awal September hingga pertengahan Oktober ini, sementara saingan Piala Malaysia bermula pada pertengahan Oktober hingga awal November manakala saingan Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan susulan kekangan masa.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top