BM | EN | 中文

MFL beri JDT kelulusan khas bawa penonton ke stadium

Liga-Bolasepak-Malaysia-MFL.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan bahawa pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mendapat kebenaran untuk membawa masuk penonton berskala kecil ketika menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, malam tadi.

Dalam kenyataannya hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata juara Liga Super 2020 itu telah membuat permohonan rasmi untuk membawa masuk penonton tidak lebih daripada 100 orang bersempena majlis penyampaian trofi kejuaraan Liga Super yang diadakan sejurus tamat perlawanan.

Katanya MFL bersetuju membenarkan perkara itu dengan syarat penonton yang hadir perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk stadium serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Advertisement

“Oleh kerana perlawanan ini menentukan juara Liga Super dan akan diadakan penyerahan trofi kejuaraan, pihak JDT ada membuat permohonan rasmi kepada MFL untuk membawa sejumlah ahli keluarga pemain memasuki stadium.

“Hasil perbincangan bersama setelah melihat struktur venue dan sambutan kejuaraan, MFL bersetuju membenarkan bilangan ahli keluarga pemain berskala kecil dibawa masuk dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan itu.

Ab Ghani juga menyangkal dakwaan bahawa peminat skuad Harimau Selatan itu dibenarkan masuk ke stadium beramai-ramai.

Advertisement

“Tidak ada mana-mana peminat masuk, hanya ahli keluarga pemain JDT dalam skala kecil sahaja yang berada dalam stadium selain pegawai-pegawai yang bertugas dalam stadium,” katanya.

JDT mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut selepas mengatasi Sabah 4-1 malam tadi.

Bagaimanapun, satu klip video yang tular memaparkan kehadiran sejumlah penonton termasuk kanak-kanak di Stadium Sultan Ibrahim mengundang kecaman peminat bola sepak tempatan.

Advertisement

Berdasarkan pemerhatian dalam klip video tersebut, segelintir penonton didapati mengabaikan pematuhan SOP apabila tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika menyaksikan perlawanan dari kawasan tempat duduk penyokong.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top