JOHOR BAHRU, 22 SSPT: Seorang penjenayah terpaksa berputih mata selepas disyaki gagal memecah sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah bank dekat Jalan Dedap, Johor Jaya, di sini, kira-kira jam 7.17 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, pihak polis yang sampai di tempat kejadian sejurus kemudiannya mendapati sebuah daripada dua buah ATM di bank berkenaan telah mengalami kerosakan.
Menurutnya, pihaknya juga mendapati tempat pengeluaran wang mesin itu turut rosak selain cermin penghadang berhampiran telah pecah.
“Pihak polis juga mendapati penjenayah gagal untuk mengambil wang ATM tersebut.
“Penjenayah dipercayai mengunakan bahan letupan namun belum dikenal pasti dalam cubaan memecah ATM berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ismail berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, tindakan tersebut dilakukan oleh seorang suspek.
“Berikutan itu, polis giat memburu suspek berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.
Johorkini