BM | EN | 中文

MERDEKA DENGAN ULAMA

Merdeka.jpg
Advertisement

Saban tahun, setiap kali menjelang tarikh 31 Ogos kita akan bercuti. Di Malaysia, semua orang tahu tentang ini. Sebab apa bercuti? – Sebab Hari Merdeka.

‘Hari Merdeka’ yang masih dalam ingatan ketika zaman budak-budak mudah sahaja. Perarakan waktu pagi, kereta berhias, lintas hormat helikopter dengan bom asap yang keluar empat warna bendera kebangsaan. Merah, putih, biru, kuning – warna Jalur Gemilang.

Itu cerita orang Kuala Lumpur yang ada peluang pergi menonton perarakan kemerdekaan di Dataran Merdeka. Di kampung saya dekat Kluang tak kurang meriah. Kalau hari cuti umum seperti hari Merdeka, taman-taman penuh. Pelajar sekolah dapat tiket percuma untuk tonton wayang. Sungai dan jeram melimpah dengan budak-budak bujang dan orang berkeluarga beriadah santai, lebih-lebih lagi kalau gaji bulan Ogos dah masuk.

Advertisement

Namun dalam kita bergembira ke sana-sini sambil kibar bendera, ada perkara yang perlu diingatkan tentang Hari Merdeka. Iaitu tentang tokoh pejuang kemerdekaan dalam kelasnya yang tersendiri.

Biasanya bila sebut tentang merdeka dan tokohnya, yang tergambar ialah askar lawan komunis dan ahli politik berucap berkobar-kobar melaungkan slogan kemerdekaan.

Tokoh dan pejuang kemerdekaan yang perlu dikenang juga ialah kaum agamawan dan ulama. Di rantau kita, Nusantara, agamawan dan ulama berperanan penting dalam meniup semangat kemerdekaan.

Advertisement

Kolonial waktu itu, British dan Belanda melihat golongan ulama dan agamawan sebagai antara musuh atau ancaman paling berbahaya.

Kaum agawaman dan ulama telah bergerak melancarkan kempen dan perang antipenjajahan, lebih awal dari mana-mana pergerakan politik moden.

Sebagai contoh, Raja Haji Fisabilillah, putera Riau, dikenali sebagai ‘Marhum Teluk Ketapang’ yang mangkat pada malam 18 Jun 1784 di Telok Ketapang, Telok Mas, Melaka akibat terkena bedil ketika melakukan serangan keatas pengkalan maritim Belanda di Melaka.

Advertisement

Dinukilkan baginda mangkat dengan di tangan kanan menghunus badik pusaka, manakala di tangan kiri memegang erat kitab Dalail Al-Khairat.

Meskipun tragis, itu sebahagian kisah keberanian pendekar dan kealiman ulama, sekaligus tokoh pejuang kemerdekaan.

Almarhum bukan sahaja memiliki keazaman untuk membebaskan anak bangsa dari penjajahan, penting lagi ialah tentang kesolehannya yang sudah tentu bersandarkan kepada ilmu pengetahuan dan ketaqwaan.

Advertisement

Kitab Dalail Al-Khairat dalam genggaman baginda itu dalam terjemahan bahasa Melayu berjudul ‘Petunjuk Kebaikan dan Pancaran Cahaya dalam Berselawat ke atas Nabi Yang Terpilih’.

Ia merupakan kitab yang terkandung dalamnya selawat, puji-pujian dan doa ke atas Nabi Muhammad yang dikarang di Maghribi pada abad ke-15 masihi oleh seorang ahli sufi terkenal ketika itu, al- Imam Sayyid Abu Abdillah Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli (Imam al-Jazuli).

Barangkali akibat dari kesedaran tersebut, maka kaum penjajah berusaha untuk menjarakkan orang Melayu pada ketika itu dengan kaum agamawan dan ulama.

Advertisement

Misalnya, orientalis Snouck Hurgronje, pada 1893 pernah mengeluarkan sebuah laporan bertajuk ‘De Atjeher’ yang antara kandungannya menyebut supaya golongan ulama perlu diasingkan daripada rakyat bagi mematahkan gerakan kemerdekaan.

Namun tidak patah semangat, sepanjang tempoh penjajahan, melalui gerakan dakwah dijalankan terus-menerus oleh ulama dengan pelbagai cara, bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat untuk menentang imperialis.

Maka kita pada hari ini seharusnya menggali sejarah tentang tokoh-tokoh dalam kategori tersebut, iaitu para agamawan dan ulama. Tidak perlu pergi jauh-jauh. Kita cari di sekeliling kita.

Advertisement

Mereka boleh sahaja pernah singgah dalam ingatan, melalui sejarah lisan yang didengari dari cerita mulut orang-orang tua di kampung. Mungkin namanya Penghulu Kassim, Tok Atan Kampar mahupun Lebai Manaf.

Seharusnya mulai dari tahun ini kita perlu memaknai semula semangat kemerdekaan. Tak salah jika mahu meluangkan masa berlibur bersama keluarga dan kawan-kawan.

Namun apa kata setidaknya kita melawat ke kubur-kubur para ulama dan pejuang kemerdekaan, ke muzium yang dekat dengan kita. Tidak banyak, mungkin ada sedikit peranan digerakkan oleh tokoh-tokoh agama di tempat kita.

Advertisement

Jangan pula kita menjadi seperti menunggu bulan jatuh ke riba, mengharapkan orang lain yang akan melakukannya. Menggali, merakam dan menulis sejarah.

Kalau tidak, kita tidak ubah seperti apa yang dikatakan oleh Snouck Hurgronje, mengasingkan diri dengan kaum agamawan dan ulama.

Lebih teruk, pengasingan bukanlah dilakukan oleh si orientalis, tapi diri kita sendiri.

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top