BM | EN | 中文

Meragut di Kluang, ditahan di Johor Bahru

Ragut-Kluang-Johor-Bahru.jpg

Gambar Ehsan FB Kluang 居銮

Advertisement

KLUANG, 27 OKT: Dua lelaki yang melarikan diri setelah meragut seorang wanita warga emas di daerah ini Khamis lepas, berjaya diberkas polis di Johor Bahru, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng berkata kedua-dua suspek yang dipercayai penagih dadah berusia 26 dan 28 tahun, meragut rantai leher wanita berusia 76 tahun itu di Jalan Resak, di sini, pada pukul 9.30 pagi.

Beliau berkata kejadian berkenaan yang menyebabkan mangsa kerugian RM2,000 berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang kemudiannya tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.

Advertisement

“Melalui rakaman terbabit, kedua-dua suspek didapati menarik rantai leher dan menolak wanita itu sehingga terjatuh mengakibatkan mangsa mengalami lebam pada bahagian kakinya.

“Akibat takut setelah rakaman perbuatan mereka tersebar, suspek melarikan diri ke Johor Bahru bagi mengelak ditahan polis, namun mereka berjaya dikesan sebelum ditahan pada pukul 1.50 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Low berkata turut dirampas bersama suspek ialah sebuah motosikal jenis SYM E-Bonus berwarna biru yang dipercayai digunakan semasa kejadian ragut terbabit.

Advertisement

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah.

“Mereka akan direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

“Pihak polis Kluang juga kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung penglibatan kedua-dua suspek dalam kes jenayah lain yang pernah dilakukan mereka,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top