JOHOR BAHRU, 15 OGOS: Menteri kabinet Singapura, K Shanmugam dinasihatkan tidak perlu risau dengan puisi ‘Pejuang’ Tun Dr Mahathir yang dikarang bekas perdana menteri itu.
Wakil India Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Jeevan Supramaniam berkata, kenyataan dikeluarkan K Shanmugam yang seolah-olah tersinggung dengan puisi tersebut adalah dangkal.
Katanya, Tun tidak menuduh sama ada ‘negara jiran’ yang dimaksudkan adalah Singapura tetapi Shanmugam dilihat cuba bermain emosi dengan menganggap kenyataan Tun itu merujuk kepada negara republik itu.
“Mengapa dia yang ‘berpeluh? Sekiranya (orang) Melayu di republik itu tidak terpinggir mengapa beliau begitu sibuk dengan puisi berkenaan?
“Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan republik itu membelakangkan bangsa Melayu sehingga kenyataan seremeh itu pun mereka mulai terasa dan seolah-olah ia seperti tidak rasional.
“Saya melihat mereka (Singapura) memang terlalu takut dengan Tun Dr Mahathir sehingga salah seorang menterinya terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya.
Tambahnya, sebagai seorang menteri kanan di negara itu, persoalan berkenaan dengan puisi itu tidak perlu diambil berat kerana ia hanyalah luahan dan tidak merujuk pada mana-mana negara di sekitar Malaysia.
Puisi Tun Mahathir itu ditulis bersempena penubuhan parti baharunya Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang disiarkan dalam laman blognya.

Menteri kabinet Singapura, K Shanmugam
Puisi tersebut telah menyatakan perkataan ‘Lihat Melayu negara jiran, Melayu lagikah negara mereka?’ yang dikatakan merujuk kepada negara jiran Singapura.
Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam mempersoalkan dua baris kenyataan Dr Mahathir Mohamad yang ditulis dalam gaya sajak semalam, yang menyebut “negara jiran”.
Dalam kenyataan di media sosialnya, Shanmugam petang semalam memetik baris berkenaan yang turut menyebut “Melayu lagikah negara mereka?”
“Tertanya negara mana yang dimaksudkan Dr Mahathir,” kata K Shanmugam di laman Facebook beliau.
Ulas Jeevan lagi, Tun hanya menegur sifat dan sikap sesuatu kaum untuk mereka berubah ke arah yang lebih baik.
“Puisi itu hanya untuk menaikkan semangat bangsa bukan bermaksud untuk menghina atau memperkecilkan sesiapa termasuk negara-negara lain.
“Ini hanyalah seperti peringatan ‘orang tua’ kepada anak cucunya sahaja tidak lebih dari itu.
“Kita harus menerima dengan cara yang positif,” katanya lagi.
Johorkini