BM | EN | 中文

MENARA JLAND, BANGUNAN HIJAU PERTAMA DI IIBD

menara-j-land2.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 6 DIS: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyempurnakan majlis perasmian Menara JLand baru-baru ini, sebuah bangunan yang mengetengahkan ciri-ciri teknologi hijau, di sini.

Menara yang terletak di atas pusat membeli-belah Komtar JBCC itu dijangka akan menjadi lokasi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor 2020 (TMJ2020) dan Sukma tahun hadapan.

Menara JLand merupakan bangunan pertama di Johor Bahru yang memperolehi Persijilan Emas bagi Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan bangunan pejabat bertaraf gred A di dalam Ibrahim International Business District (IIBD).

Advertisement

Antara ciri-ciri teknologi hijau yang diketengahkan termasuklah jendela kalis ‘Ultra Violet’ (UV), pemasangan sensor gerakan bagi mengawalselia penggunaan elektrik selain dinding kaca dengan penyerapan haba yang rendah.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata kedudukan menara tersebut sangat strategik kerana terletak di pintu masuk IIBD serta Iskandar Malaysia dari arah Singapura.

“Selain itu, ia juga mempunyai akses keluar masuk melalui jaringan penghubungan yang terbaik dari enam pusat pertumbuhan ekonomi dalam lingkungan 60km iaitu Pasir Gudang, Senai, Iskandar Puteri, Tanjung Langsat, Tanjung Pelepas serta Pengerang,” katanya ketika berucap di majlis perasmian tersebut.

Advertisement

Turut hadir Johor Menteri Besar merangkap Pengerusi JCorp, Datuk Dr Sahruddin Jamal, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Liow Cai Tung, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Eksekutif, Johor Land Berhad Mohd Yusof Ahmad.

Kamaruzzaman yang juga merupakan Pengerusi Johor Land Berhad berkata lokasi Menara JLand yang strategik ini akan menyumbang kepada kejayaan jangka panjang terutamanya kerana ia terletak di kawasan Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura.

Selaras dengan objektif IIBD untuk menyediakan infrastruktur dengan premis bisnes bertaraf dunia, menara ini merupakan bangunan pejabat terkini dalam zon IIBD yang menjadi tumpuan penyewa dan pelabur tempatan serta antarabangsa.

Advertisement

Menara JLand mempunyai ruang boleh disewa yang berkeluasan lebih 300,00 kaki persegi dengan keluasan lantai bagi setiap tingkat di antara 8,000 hingga 12,000 kaki persegi, dan pada tingkat tertentu akan berhubung terus dengan ‘premium sky garden’.

Keunikan bangunan ini juga lebih terserlah pada waktu malam dengan adanya pencahayaan fasad bangunan yang menggunakan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED), selain panorama malam di bandaraya dan kawasan sekitarnya yang kelihatan berwarna-warni dari ketinggian 170 meter.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top