JOHOR BAHRU, 10 DIS: Petugas media perlu menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam memastikan semua dasar dan polisi yang dilaksana demi manfaat rakyat dapat dimaklumkan kepada semua peringkat masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, media juga merupakan komponen penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat termasuk dalam merealisasikan kerangka pelan pembangunan Tujuh Ikhtiar Makmur Johor.
“Walaupun menjadi rakan strategik, namun, tidak bermaksud media perlu berasa takut untuk mengkritik sekiranya wujud kekurangan dalam perkhidmatan yang diberi kerajaan negeri kepada rakyat.
“Kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan pandangan serta idea daripada semua pihak termasuk pengamal media yang memang kaya dengan pendapat yang bernas,” katanya, lapor Utusan Online.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Media Johor (KMJ) 2020/2021 di Hotel Holiday Villa, di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis.
Tambah Hasni, pihaknya turut berharap media mempunyai aspirasi sama dan seiring dengan inisiatif kerajaan negeri dalam membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat negeri itu.
“Bukan sahaja berperanan sebagai penyampai, penyebar maklumat dan dasar kerajaan, tetapi juga mempunyai tanggungjawab serta amanah dalam menyuburkan nilai perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan masyarakat.
“Dalam era media baharu, media perlu terus menjadi ejen penyampai maklumat tepat dan melaporkan dengan penuh rasa tanggungjawab tanpa rasa takut selain berpegang teguh dengan prinsip dan etika kewartawanan yang tulen,” ujarnya.
Sementara itu, dalam mesyuarat berkenaan, Mohamad Fauzi Ishak daripada Astro Awani mengekalkan jawatan selaku Presiden KMJ untuk penggal keenam berturut-turut.
Sejarah turut tercipta apabila buat pertama kali jawatan Timbalan Presiden II KMJ disandang oleh wanita iaitu wartawan The Star, Lauren Yee Xiang Yun, manakala Jurufoto Utusan Malaysia, Raja Jaafar Raja Ali dilantik Timbalan Presiden I.
Johorkini