JOHOR BAHRU, 18 FEB: Malaysia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengorak langkah membangunkan teknologi 5G dengan menyertai forum 5G APAC GSMA.
Forum ini bermatlamat membentuk evolusi teknologi 5G yang menjadi teras inovasi sosial dan ekonomi bagi merangsang pembangunan negara-negara rantau ini, demikian kenyataan dalam akaun twitter rasmi MCMC.
Melalui forum ini, negara peserta diberi keutamaan untuk mengakses khidmat kepakaran, persidangan, makmal dan kajian-kajian yang dilaksanakan oleh GSMA.
Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak berkata, melalui forum ini MCMC akan berkongsi pengalaman menggabungkan pelbagai industri, kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan untuk membentuk ekosistem holistik bagi mengkomersialkan 5G di negara ini.
“Forum 5G APAC GSMA akan menjadi sumber rujukan dalam menetapkan dasar dan peraturan terbaik bagi merangsang inovasi berasaskan 5G yang dapat dimanfaatkan kepada seluruh rakyat,” menurut kenyataan itu.
Forum 5G APAC GSMA diasaskan pada 25 September 2019 dan dianggotai wakil-wakil industri dan agensi kerajaan di rantau Asia Pasifik bagi memacu perkembangan pelbagai segmen berkaitan 5G.
Johorkini