MCA BISU SOAL TAMBAK JOHOR 
Hong Pin

MCA BISU SOAL TAMBAK JOHOR 

 

JOHOR BAHRU, 8 NOV – Setiausaha DAP negeri, Tan Hong Pin mempersoalkan Barisan Nasional (BN) terutama MCA berhubung pendirian parti itu mengenai kesesakan di Tambak Johor yang perlu dihadapi oleh para pemuda dari Tanjung Piai setiap hari selama mereka berkuasa.

“Tambak Johor merupakan satu-satunya medium bagi 430,000 warga Malaysia untuk berulang-alik ke Singapura setiap hari.

“Mereka yang berulang-alik kebanyakannya adalah pemuda dari Tanjung Piai.

“Sejak lima tahun lepas DAP dan Pakatan Harapan (PH) konsisten membangkitkan isu lalu lintas melalui Sidang Dewan Negeri memandangkan pimpinan MCA terus membisu mengenai masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Hong Pin lagi, di bawah kerajaan negeri yang baharu, sebuah Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas dibentuk bagi mengkaji dasar penyelesaian masalah kesesakan Tambak Johor.

“Kerajaan negeri di bawah PH konsisten dengan perkara yang dibangkitkan dikala MCA terus hilang selepas sekian lama membisu.

“Usaha ini tidak terhenti di peringkat negeri, PH terus bergerak di peringkat Persekutuan.

“Di peringkat Persekutuan, Mesyuarat Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibentuk bagi melaksanakan dapatan dasar yang dibangkitkan oleh pasukan petugas khas.

“Usaha ini menyebabkan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM85 juta melalui Belanjawan 2020 bagi projek-projek melancarkan aliran trafik kenderaan yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

“Kerajaan pimpinan PH bukan sahaja meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS) malah turut mengurangkan kos pembinaan sebanyak RM1.77 bilion iaitu 36 peratus daripada kos asal berjumlah RM4.93 bilion.

“Usaha ini tentunya bakal memberi kesan kepada kos tambang yang bakal berkurangan berbanding RM15 sebelum ini, tentunya mengurangkan beban mereka yang bekerja di Singapura,” katanya lagi.

JohorKini

 

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )