JOHOR BAHRU, 6 NOV : Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) melaksanakan sebanyak 209 buah projek dengan kos keseluruhan bernilai RM38.25 juta pada tahun ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata, peruntukan persekutuan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia ( MARRIS) itu akan digunakan bagi kerja-kerja penurapan jalan, pembaikan parit di bahu jalan dan pembaikan lorong-lorong belakang di bawah bidang kuasa jalan perbandaran.
“MBJB amat menghargai di atas peruntukan yang telah disalurkan daripada pihak kerajaan persekutuan ini kerana ia memberikan impak yang besar dari segi penambahbaikan infra-infra yang sedia ada dalam kawasan MBJB.
“Ingin saya tekankan, MBJB komited untuk membelanjakan peruntukan yang disalurkan itu sepenuhnya mengikut tempoh masa yang ditetapkan.
“Sehubungan dengan itu, saya meminta agar jabatan-jabatan yang berkenaan dapat melaksanakan segala projek yang telah dipersetujui dengan terurus, sempurna dan lancar,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Bilangan-10 Tahun 2019 di Dewan Inai Merah, MBJB, hari ini.
Tambahnya, pihak kontraktor yang dilantik juga diminta supaya memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menyiapkan projek-projek tersebut dan pastikan kualiti kerja dihasilkan berada di tahap baik.
Jelasnya, peringatan tersebut juga terpakai untuk segala projek pembangunan yang telah dirancang dan dipersetujui perlaksanaanya sama ada dari peruntukan MBJB, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan lain-lain lagi.
JohorKini