BM | EN | 中文

MBJB jalin kerjasama dengan PDRM, JPJ tangani isu kenderaan terbiar

mbjb02-01-scaled.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 28 JUL: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjalin kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menangani isu kenderaan terbiar di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud berkata kerjasama itu dicapai menerusi perkongsian pintar sistem aplikasi My Vehicle Impound System (VIS) dan kempen ‘Jom Serah Kenderaan Terbiar dan Lanjut Usia’.

Beliau berkata menerusi aplikasi My VIS yang dibangunkan sendiri oleh pihaknya itu, ia dapat memudahkan pihak polis membuat semakan dan pengesahan maklumat kenderaan yang telah ditunda oleh MBJB.

Advertisement

Kempen ‘Jom Serah Kenderaan Terbiar dan Lanjut Usia’ itu pula dapat melancarkan proses pelupusan kenderaan yang telah dilucut hak selepas pemilik membuat rujukan dengan JPJ, katanya.

Adib Azhari berkata kerjasama itu bukan sahaja dapat menangani isu kenderaan terbiar malah sekali gus mampu mengelakkan kenderaan terbabit menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan sasaran penyeludupan dadah serta barangan tidak bercukai.

“Setakat ini sahaja, di depoh kita (MBJB) terdapat 2,483 kenderaan terbiar dan tidak dituntut bagi tempoh awal tahun sehingga kini.

Advertisement

“Ia bukanlah isu untuk kita lelong, tetapi kita kena lihat perkara ini (kenderaan terbiar) akan beri masalah kepada penduduk setempat.

“Oleh itu, kita kena bertindak cepat,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman bersama PDRM dan JPJ, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor SAC Razimi Ahmad dan Timbalan Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan.

Advertisement

Adib Azhari berkata terdapat dua depoh penyimpanan kenderaan MBJB di Mount Austin, di sini, yang mampu menampung kira-kira 4,000 kenderaan secara keseluruhannya.

“Kalau lama kita simpan kenderaan yang ada ini, kenderaan yang terbiar di luar kita tidak boleh tarik, sebab itu kita perlu kurangkan penyimpanan dan buat tindakan progresif,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top