JOHOR BAHRU, 29 JAN: Pemilik premis di bandaraya ini berdepan tindakan tegas sekiranya didapati gagal menuruti arahan atau tatacara yang telah ditetapkan dalam Pekeliling Kerajaan mengenai Protokol Bendera Johor dan Bendera Daerah-daerah Johor.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Datuk Adib Azhari Daud berkata, ini berikutan didapati
masih ada premis dalam bandaraya ini yang masih gagal mengibarkan bendera negeri Johor, daerah, mahupun bendera Malaysia mengikut tatacara yang telah ditetapkan sejak akhir-akhir ini.
Katanya, tidak kurang juga ada yang membiarkan bendera yang telah usang atau lapuk digantung dan dikibarkan di premis masing-masing.
“Sehubungan dengan itu, saya ingin mengingatkan agar semua pihak merujuk kepada Pekeliling Kerajaan mengenai Protokol Bendera Johor dan Bendera Daerah-Daerah Johor sebelum mengibarkan apa-apa bendera di premis.
“MBJB melalui Jabatan Penguatkuasa akan mengambil tindakan yang tegas jika didapati masih ada lagi premis yang gagal menuruti arahan atau tatacara yang telah ditetapkan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Mesyuarat Penuh Bilangan 1 Tahun 2020 di Dewan Inai Merah, hari ini.
Dalam pada itu, Adib Azhari turut mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menggunakan jata atau logo MBJB tanpa mendapatkan kebenaran daripada pihak MBJB terlebih dahulu.
“Ini bagi memastikan jata atau logo MBJB tidak disalahguna oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab serta mengelakkan wujudnya salah faham di kalangan warga bandar raya Johor Bahru,” katanya lagi.
JohorKini