JOHOR BAHRU, 14 JAN: Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengucapkan takziah atas kematian Nur Dinie Damia Mohammad Noor Ain, 7, yang meninggal dunia malam tadi.
Menerusi hantaran dikongsikan di Facebook beliau, pihaknya meminta orang ramai mendoakan agar roh Allahyarhamah Nur Dinie Damia ditempatkan di kalangan para syuhadah.
Katanya, beliau telah dimaklumkan bahawa kanak-kanak itu telah kembali ke Rahmatullah kira-kira pada jam 10.45 malam.
“Dia yang berusia 7 tahun sebelum ini diberikan pemantauan khusus dan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru oleh pakar-pakar perubatan.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarhamah Adik Damia ditempatkan di kalangan para syuhadah, orang-orang yang beriman serta beramal soleh.
“Buat keluarga Allahyarhamah, saya menitipkan doa semoga ibu bapa serta keseluruhan keluarga diberi ketabahan seterusnya redha di atas pemergian insan tersayang. Al-Fatihah,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Johorkini