MUAR, 5 OKT: Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal memandu sendiri kereta bagi meninjau persekitaran selain menyantuni penduduk setempat di kawasan yang diwakilinya di Bukit Kepong.
Dalam kiriman di laman Facebook beliau semalam, Dr Sahruddin dilihat memandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru muda, berhenti di beberapa lokasi untuk bertemu dan beramah mesra bersama penduduk kampung.
Terdahulu, beliau hadir ke program Jom Sarapan Pagi Bersama Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pagoh di Warung Lempeng di Kampung Sungai Raya.
Selain itu, antara tempat disinggahi ialah Warung Asam Pedas A&S, selain ke Masjid Kampung Panjang Sari untuk menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat.
“Pertemuan seumpama ini menjadi platform buat saya bertemu orang ramai dengan cara tersendiri, iaitu lebih santai tanpa protokol untuk mendengar cerita, pandangan, isu dan permasalahan di peringkat kawasan.
“Alhamdulillah, pertemuan seperti ini menterjemahkan permuafakatan pemimpin dan masyarakat yang erat,” katanya.
Johorkini