SEGAMAT, 22 JUN: Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Hasni Mohamad diminta segera memberikan tarikh bagi sidang Dewan Negeri Johor yang akan datang.
Adun Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor berkata, Hasni perlu segera memanggil sidang DUN lanjutan dari perbincangan khas antara Adun dan wakil rakyat Parlimen Johor pada 27 Mei lepas dapat diteruskan dengan baik.
Naib Pengerusi Parti AMANAH Johor itu berkata, banyak isu rakyat yang ingin dibawa ahli mesyuarat, namun masa yang singkat tidak memungkinkan perbahasan yang baik.
“Sebagai contoh, terkini dalam Daerah Segamat telah dilaksana dua PKPD. Satu melibatkan kluster komuniti dan satu melibatkan kluster tempat kerja.
“Pada kluster tempat kerja, 62 peratus dari 1,020 yang disaring telah positif Covid-19. Isu wabak kini telah melata di negeri Johor, dari selatan hingga ke utara.
“Saya juga dimaklumkan penghulu mukim telah meminta ketua-ketua kampong membuat tinjauan mereka yang telah dan belum mendaftar untuk program vaksin Covid-19.
“Usaha ini lebih mudah jika pihak MOSTI sendiri menyediakan maklumat mereka yang telah mendaftar mengikut daerah dan mukim agar kerja ketua kampong lebih bersasar. Saya dimaklum, ketua kampong pun tidak termasuk dalam barisan hadapan untuk diberi vaksin awal.
“Bekerja secara lebih berstrategi, bermaklumat dan muafakat akan banyak membantu meringankan beban banyak pihak.
“Dengan adanya sidang Dewan Negeri Johor, kerjasama antara semua pihak dapat dijalin, idea-idea dari semua pihak digembleng dalam sidang Dewan Negeri berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata tidak ada sebab proses demokrasi dan suara rakyat harus disekat hanya kerana ingin laksana darurat.
Tambahnya, titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebelum agar sidang parlimen dibuka dengan kadar segera adalah isyarat pentingnya agar proses demokrasi berjalan lancar di samping suara rakyat didengar oleh pihak eksekutif.
“Diharap negeri Johor yang mempunyai Undang-undang Tubuh terawal di negara akan mendahului negeri dan negara dalam memastikan demokrasi akan terus subur dan muafakat antara semua pihak terlaksana dengan baik demi kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
Johorkini