BM | EN | 中文

MB Johor digesa adakan sidang DUN, cari jalan bantu rakyat – Adun Bekok

dr-s-ramakrishnan-1.jpg
Advertisement

SEGAMAT, 16 MAC: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad digesa mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) segera bagi membolehkan masalah ekonomi negeri dan rakyat yang terkesan dengan Covid-19 diselesaikan.

Adun Bekok, Dr S Ramakrishnan berkata, sidang DUN membolehkan wakil rakyat dilantik untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat negeri ini.

Menurutnya, melalui sidang DUN, wakil rakyat boleh membahas, mengkritik, menyemak imbang dan memberi cadangan tentang permasalahan rakyat dan polisi yang perlu dilaksanakan kerajaan negeri.

Advertisement

“Ini termasuk membincangkan keputusan dan polisi kerajaan negeri dalam menangani wabak Covid-19, perintah darurat tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan sidang DUN.

“Hal ini kerana ekonomi Johor sangat terkesan akibat Covid-19 dan harus dipulihkan segera agar kehidupan rakyat kembali normal. Johor antara negeri paling terkesan dengan Covid-19,” katanya, semalam.

Tambahnya, penutupan sempadan antara Malaysia-Singapura memberi kesan besar terhadap ekonomi negeri khususnya industri pelancongan yang merosot sehingga 50 peratus kerana rakyat Singapura tidak dapat masuk ke negara ini.

Advertisement

“Industri berasaskan pelancongan seperti perhotelan, pengangkutan, penyediaan makanan dan minuman, seni, hiburan dan rekreasi juga terkesan.

“Keadaan ekonomi yang tidak menentu berikutan impak penularan Covid-19 meningkatkan lagi kadar pengangguran di Johor yang kini berada di tahap yang agak membimbangkan.

“Isu peningkatan golongan gelandangan di Johor juga berkait rapat dengan masalah pengangguran ini. Sekiranya isu-isu sebegini tidak diambil tindakan sewajarnya maka kehidupan rakyat di Johor akan terus dibelenggu kemiskinan,” ujarnya lagi.

Advertisement

Terdahulu, Utusan Online melaporkan beliau sebagai berkata, sidang DUN merupakan platform penting untuk ADUN dan kerajaan negeri mengadakan perbincangan dan bertukar fikiran selain mencari penyelesaian dan bersepakat mengenai masalah rakyat.

“Sidang DUN harus diadakan segera bagi merangka pelan tindakan, program dan polisi untuk menghidupkan semula sektor ekonomi Johor.

“Wakil rakyat yang responsif kepada keperluan masyarakat harus diberi platform membahaskan masalah rakyat. Ini bagi mendapatkan penyelesaian yang efektif,” katanya.

Advertisement

Pihaknya juga percaya sidang DUN selamat untuk diadakan kini kerana kesemua ADUN di negeri ini telah menerima suntikan vaksin Covid-19 pada awal bulan ini.

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top