BM | EN | 中文

MB Johor bertandang ke Kedah dan Perak 

IMG-20200211-WA0017.jpg

Dr Sahruddin (dua, kanan) menyampaikan watikah jemputan rasmi SUKMA XX kepada Mukhriz - ihsan Facebook Dr Sahruddin Jamal

JOHOR BAHRU, 11 FEB: Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama delegrasi kerajaan negeri dan Sekretariat Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 telah bertandang ke Kedah dan Perak.

Lawatan ke Kedah yang berlangsung Ahad lepas diikuti keesokkan harinya ke Perak itu bagi menyampaikan watikah jemputan rasmi buat kedua-dua kontinjen itu.

Watikah tersebut diterima oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sementara itu, Dr Sahruddin berkata, penyampaian watikah berkenaan merupakan tradisi bagi setiap negeri yang menjadi tuan rumah SUKMA bagi menzahirkan jemputan secara takzim dan terhormat kepada kontinjen negeri yang akan bertandang.

“Secara simboliknya, majlis ini juga merupakan sebuah platform penghormatan kerajaan negeri Johor dalam mengintegrasikan lagi hubungan antara negeri-negeri yang bertanding semasa temasya sukan dwitahunan ini nanti.

“Implikasi daripada gandingan antara negeri-negeri ini juga, akan menjadi titik temu terbaik dalam segenap aspek terutama pembangunan ekonomi, sosiobudaya, pelancongan dan juga semangat kesukanan,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, kali terakhir Johor menjadi tuan rumah SUKMA adalah pada tahun 1992 iaitu hampir 28 tahun yang lalu, di mana Negeri Sarawak telah menjadi Johan Keseluruhan pada ketika itu.

“Secara dasarnya, kerajaan negeri Johor telah bersiap siaga menerima kunjungan daripada semua kontinjen bagi SUKMA XX Johor 2020 ini.

“Hampir semua venue-venue pertandingan juga telah berada dalam fasa akhir bagi menghadapi temasya gilang gemilang ini.

“Saya yakin dan percaya, setiap kontinjen negeri yang akan bertanding juga sedang membuat persiapan terakhir secara maksimum bagi memberikan hasil terbaik semasa temasya berlangsung kelak,” katanya.

Dr Sahruddin (tiga, kanan) bergambar bersama Ahmad Faizal (tiga, kiri) – ihsan Facebook Dr Sahruddin Jamal

Sementara itu, menurut Facebook rasmi Dr Sahruddin Jamal, beliau memberitahu, bagi memastikan kelancaran keberadaan semasa SUKMA XX Johor 2020, kerajaan negeri telah melantik Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor sebagai jabatan angkat bagi Kontinjen Negeri Kedah Darul Aman.

“Manakala, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dilantik selaku jabatan angkat bagi kontinjen Perak dalam membantu mengkoordinasi keperluan sepanjang berlangsungnya SUKMA pada bulan Julai ini,” katanya.

SUKMA XX Johor 2020 yang bakal berlangsung pada 11 hingga 19 Julai depan menyaksikan sebanyak 31 acara sukan dipertandingkan dengan melibatkan 39 venue di tiga daerah utama iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar.

Manakala, bagi PARA SUKMA XX Johor 2020 pula akan berlangsung pada 16 hingga 22 Ogos depan dengan 10 acara sukan dipertandingkan berlangsung di daerah Johor Bahru.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top