PASIR GUDANG, 8 SEPT: Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata kerjasama erat dikalangan jabatan dan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor berjaya membantu membendung dan menyelesaikan tiga kejadian bencana yang berlaku dalam negeri.
Menurutnya, agensi-agensi terlibat ini telah memberikan tindak balas yang pantas sebaik berlakunya kejadian – pencemaran sisa bahan kimia Sungai Kim-Kim, diikuti insiden gangguan kesihatan di Pasir Gudang, serta kebakaran hutan belukar di Kampung Pekajang, Iskandar Puteri – yang disifatkannya sebagai satu ujian buat Johor.
“Setiap keputusan dibuat secara kolektif antara kerajaan negeri dengan jabatan dan agensi yang terlibat serta NGO berkaitan demi memastikan ketiga-tiga bencana yang berlaku diuruskan dengan baik dan menyeluruh,” katanya.
Dr Sahruddin bercakap demikian ketika berucap dalam ‘Majlis Apresiasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, di Menara Aqabah, Pasir Gudang, hari ini.
Malah, tambah Dr Sahruddin, usaha membantu menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat di kawasan terjejas juga diteruskan selepas ianya berakhir.
“Tindakan-tindakan pasca bencana juga dilaksanakan membabitkan soal pemantauan, penguatkuasaan dan ‘engagement’ agar kejadian tidak berulang di masa akan datang.
“Mengambil contoh bencana di Pasir Gudang, telah ditubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Kesejahteraan Pasir Gudang dan Jawatakuasa Kerja Teknikal dan Saintifik bagi tujuan pemantauan, pelaporan status terkini serta penyelarasan dan pengesanan impak,” katanya lagi.
Beliau turut memuji setiap jabatan terlibat yang memberikan penerangan secara langsung kepada orang ramai dalam sesi ‘townhall’ isu-isu di Pasir Gudang yang diadakan awal bulan lepas.
“Setiap jabatan dan agensi terlibat telah memberikan penerangan secara langsung serta menjawab segala persoalan daripada orang ramai, dan menerima pandangan disampaikan.”
Beliau, yang juga Adun Bukit Kepong, turut berkata yang kerajaan negeri menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar serta Pemangku Raja, Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan, teguran, nasihat dan pandangan bagi menyelesaikan isu tersebut.
Johorkini