JOHOR BAHRU, 27 FEB: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang mengambil sikap berkecuali dan menunggu arahan dari Bersatu pusat berhubung keputusannya sama ada untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) ataupun gabungan baru di negeri ini.
ADUN Puteri Wangsa itu berkata, beliau menunggu arahan daripada pusat terutamanya daripada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang langkah yang wajar dilakukan oleh Bersatu negeri.
“Saya menunggu arahan daripada pusat terutamanya daripada Pengerusi Tun (Dr Mahathir) tentang apa yang perlu (diambil) di negeri.
“Sebab itu saya tidak dapat membuat keputusan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat PPBM Johor, disini, sebentar tadi.
Terdahulu, Mazlan mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor di ibu pejabatnya di Kempas yang turut dihadiri 19 daripada 26 Ketua Bahagian Bersatu Johor.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, beliau telah menemui Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar malam tadi.
“Saya semalam baru balik daripada Kuala Lumpur tak sempat (berjumpa). Akhirnya saya sampai ke Johor Bahru. Secara peribadi saya sempat jumpa dengan Tuanku, tapi bukan berjumpa di Bukit Timbalan. Saya mengadap di istana dan bercakap (tentang) pendirian saya.
“Saya mendapat kerjasama yang baik daripada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku. Saya tidak dapat membuat keputusan, sehingga dapat arahan daripada Pusat,” katanya lanjut.
Sebelum ini dilaporkan dua ADUN Johor yang tidak hadir dalam temuduga tersebut iaitu ADUN Jeram dari Amanah, Salahuddin Ayub dan Mazlan Bujang sendiri.
Terdahulu, hari ini, Istana Johor mengumumkan sebuah gabungan baru akan mengambil alih kerajaan negeri.
Kenyataan itu menyebut, langkah tersebut diambil selepas Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menemubual 54 daripada 56 Adun Johor semalam dan menandatangani akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong PH atau gabungan baru.
Kata Setiausaha Sulit Sultan Johor, Jaba Mohd Noah, Sultan Ibrahim berpuas hati gabungan baru itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila 28 Adun memilih gabungan baru berbanding 26 PH.
JohorKini