BM | EN | 中文

Masyarakat diingat untuk tidak menjadi ejen penyebaran berita tidak tepat

tan-hong-pin-1.jpg

Tan Hong Pin (tengah) mengedarkan risalah berhubung koronavirus menerusi program Info on Wheels yang diadakan di pusat beli belah Sutera Mall.

JOHOR BAHRU, 13 FEB: Masyarakat diingatkan untuk tidak menjadi ejen penyebaran maklumat tidak tepat khususnya berhubung penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).

ADUN Skudai, Tan Hong Pin berkata, perkara itu penting untuk memastikan tidak timbul situasi panik dalam kalangan masyarakat.

“Jangan kita semakin memburukkan keadaan dengan penyebaran maklumat tidak tepat kerana ia hanya akan menimbulkan keadaan panik.

“Disebabkan itu program Info on Wheels (IOW) ini dijalankan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung jangkitan koronavirus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika terlibat mengedarkan risalah menerusi program IOW di pusat beli belah Sutera Mall, di sini, semalam.

Pengedaran risalah itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Johor.

Tambah Hong Pin, selain mengedar risalah secara terus kepada orang ramai, pihaknya akan turut membuat edaran menerusi medium media sosial.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan penjagaan kebersihan yang baik sebagai langkah pencegahan.

“Selain kerap membasuh tangan dan menjaga kebersihan diri, orang ramai khususnya golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak juga dinasihatkan untuk mengelakkan kawasan tumpuan orang ramai pada ketika ini,” ujarnya lanjut.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top