BM | EN | 中文

Masjid Sultan Iskandar diisytihar sebagai masjid pelancongan

masjid-pelancongan.jpg

Kamaruzzaman (dua,kanan) ketika gimik pelancaran

JOHOR BAHRU, 25 DIS: Seiring dengan Tahun Melawat Johor 2020 (VMY2020) dan sempena negeri Johor menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun hadapan, seramai 40,000 pelancong disasarkan hadir ke Masjid Sultan Iskandar di Bandar Dato’ Onn, di sini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, sasaran itu adalah berikutan daripada pengisytiharan masjid tersebut sebagai Masjid Pelancongan.

Katanya, pengiisytiharan itu juga seiring dengan pengiktirafan menerusi pensijilan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac).

“Ini telah menjadikan masjid ini sebagai premis kedua di Johor yang diiktiraf sebagai destinasi pelancongan selepas Johor Premium Outlet (JPO) di Kulai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengisytiharan masjid tersebut sebagai masjid pelancongan dan pelancaran buku mutiara JCorp di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, sempena pengiktirafan tersebut, masjid itu turut menyediakan fasiliti Galeri An-Nur iaitu untuk mempamerkan bahan mengenai Rukun Islam dan  Rukun Iman, intipati ajaran Islam selain fakta sejarah Al-Quran, Mekah, Madinah dan Baitulmaqadis.

“Selain itu, Waqaf An-Nur Corporation Berhad telah mengambil inisiatif dengan membariskan petugas-petugas masjid selaku pemandu pelancong, bagi memberi pendedahan interaksi dua hala seperti sesi soal jawab dan demonstrasi kepada pengunjung,” katanya lagi.

Masjid Sultan Iskandar di Bandar Dato’ Onn dibina sejak Jun 2013 dan merupakan masjid keenam dan terbesar dalam rangkaian Masjid An-Nur JCorp.

Masjid yang diuruskan sepenuhnya oleh Waqaf An-Nur Corporation Berhad ini telah memulakan operasi dengan solat Jumaat pertama pada 26 Disember 2015 serta mampu memuatkan sehingga 4,600 jemaah.

Seni bina masjid tersebut  diinspirasikan daripada negara Turki Othmaniah bagi mengenangkan hubungan baik Kerajaan Negeri Johor dan Khilafah Othmaniah selain mengetengahkan konsep persekitaran yang hijau.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top