BATU PAHAT, 7 MAC: Penduduk kampung di negeri Johor masih berdepan tiada saluran air rangkaian dan masalah ini telah pun berlarutan selama puluhan tahun.
Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim berkata kerajaan perlu memikirkan penyelesaian masalah ini dalam usaha mengatasi kesukaran dihadapi rakyat teruatamanya penduduk kampung.
Katanya, penduduk di luar bandar terpaksa membina paip saluran air mereka sendiri untuk mendapatkan bekalan air mentah ke rumah-rumah mereka.
“Mereka menghadapi masalah bekalan air mentah ke rumah mereka. Contohnya di satu lorong dianggarkan sepuluh buah rumah atau lebih, terpaksa mendapatkan sumber air dari saluran utama di tepi jalan.
“Ini kerana mereka tidak mempunyai saluran air rangkaian khusus ke rumah mereka. Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk mengadakan sebahagian peruntukan untuk pembinaan saluran paip air rangkaian,” katanya.
Beliau berkata, masalah timbul apabila penduduk kampung cuba mendapatkan sumber air di paip utama di tepi jalan dengan kos pembinaan paip dan selenggara itu akan ditanggung sendiri.
“Masalah ini juga boleh berlaku kepada Syarikat Air Johor (SAJ Ranhill) untuk memasang meter air di tepi jalan atau di rumah penduduk kampung.
“Pemasangan paip air yang tidak sekata seperti pemasangan di bawah tanah kebun, tanah persendirian dan pelbagai lagi tempat.
“Paip yang dipasang penduduk kampung itu akan mengundang risiko seperti pecah, bocor dan menyebabkan kerugian kepada penduduk.
“Sekiranya meter diletakkan di kawasan rumah maka kerugian ditanggung oleh kerajaan.
“Jika meter dipasang di tepi jalan akan menyebabkan tuan rumah itu rugi. Saya berharap kerajaan cakna dalam isu ini,” katanya lagi.
Johorkini