BM | EN | 中文

MASAM-MASAM MANIS PERWIRAKU

masam-masam-manis.jpg

Oleh: Samsudin Semang

Perwira…

Dikaulah harapan hati

Penghibur kala sunyi

Pergilah berbakti

Membela pertiwi

Perwira…

Janganlah kekanda bimbang

Untuk pergi berjuang

Andainya kau gugur

Jasamu dikenang

Dengarlah lagu kucipta

Gubahan mesra nan manja

Sebagai ganti diri

Bersama kau berbakti

Untuk ibu pertiwi

Kekanda di medan perang

Adinda di medan seni

Sama-sama berjuang

Sama-sama berbakti

Semoga tabah hati

Majulah kekanda maju jangan undur

Dinda mohon doa restu

Rela sehidup semati bersamamu

Perwiraku

Lagu ini ‘berhantu’, zaman berlalu suara Saloma masih terngiang, sedap di telinga menusuk semangat ke hati. Lagu yang dicipta pada tahun 1965 sentiasa diulang dengar, lagi-lagi menjelang hari kemerdekaan.

Ketika digubah 54 tahun dulu, karya malar hijau ini bukan lagu khas untuk merdeka. Lagu ini digubah untuk muzik latar filem Masam-Masam Manis, arahan Tan Sri P. Ramlee sekaligus sebagai hero disamping Sharifah Hanim Tuanku Syed Hamzah sebagai heroin.

Lagu ini sebuah kebetulan. Kebetulan ketika Rejimen Askar Melayu ingin membuat lawatan ke Studio Merdeka, Hulu Klang sebelum mereka pergi bertugas di Congo, sebagai tentera pengaman.

Dan kebetulan juga, P.Ramlee sedang selesaikan beberapa babak di Studio Merdeka.

‘Kebetulan; ini ditugaskan kepada Ainul Jamal, orang yang menggubah lagu ini. Diceritakan, lagu Perwira dihasilkan bukan saja ditujukan kepada askar yang mempertahankan negara, tapi makna perwira lebih luas, untuk semua bidang yang menyumbang pada pertiwi.

Meskipun, kata ‘perang;, ‘pertiwi’ dan ‘juang’ seakan khusus untuk tentera, tapi di tangan Ainul Jamal kata-kata ini jadi milik semua bidang – seniman, wartawan, cikgu, jururawat, ahli politik dan macam-macam dengan syarat mereka berjuang berperang untuk ibu pertiwi.

Dengan melodi mendayu dan menuntun – tidak seperti lagu-lagu patriotik biasa, Ainul Jamal lunakkan lagi lagu ini dengan kata ganti nama ‘adinda-kekanda’, persis kata ganti nama dalam surat cinta zaman itu.

Semangat cintakan tanah air dengan irama penuh dayu tentulah bukan karya biasa-biasa. Diceritakan Saloma terpaksa jalani sepuluh kali proses rakam kerana ‘mood’ menjiwai lagu ini tidak kunjung sampai sehingga Saloma menangis di belakang pentas kerana proses ulang rakam.

Sekarang, di balik kebetulan sebuah lagu dan filem jenaka tentang Cikgu Ashari dan penyanyi keberet, sedarlah bahawa siapa pun kita, dari sebesar-besar pangkat sampailah sekecil wartawan cabuk, kita adalah perwira dengan syarat – berjuang berperang untuk pertiwi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top