KLUANG, 25 MAC: Aktiviti harian penduduk Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh, kira-kira 20 km dari bandar Kluang terjejas apabila laluan utama yang menghubungkan petempatan mereka berdepan masalah jalan berlumpur setiap kali musim hujan tiba.
Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, sekiranya hujan berterusan lebih beberapa jam boleh menyebabkan berlaku limpahan air dan lumpur menyebabkan penduduk sukar melalui jalan tersebut.
“Ketika musim hujan, mendapan tanah dan lumpur akan terkumpul disini. Hal ini menyebabkan orang kampung sukar nak melintasi jalan.
“Permukaan jalan yang cerun menyebabkan air mengalir laju sambil membawa tanah serta lumpur ke hilir.
“Bila cuaca sudah tidak hujan lagi, orang kampung terpaksa sewa JCB untuk bersihkan lumpur dan tanah yang mendap di situ. Tiap kali hujan, begitulah keadaannya,” kata Sheikh Umar dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan ada berbincang dengan saudara Mazerol, wakil pendudk di kKampung Pengkalan Tereh dan berharap sebatang longkang bagi menyalurkan air hujan dapat dibina.
“Mungkin boleh bantu selesaikan masalah ini. Jarak dari kawasan jalan yang tinggi menuju ke kawasan mendapan lumpur dan tanah hanya sekitar 250 meter sahaja.
“Lagipun, lebih kurang lima meter bersebelahan dari kawasan mendapan dudah sedia ada culvert yang dibina sebelum ni. Ini sekadar pandangan kami sahaja,” kata Sheikh Umar.
Susulan itu beliau memaklumkan akan menulis surat kepada pihak berwajib bagi membawa cadangan dan mendapatkan panduan selanjutnya bagi mengatasi masalah ini.
“Semoga usaha kecil ini dapat memberikan keselesaan kepada warga Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh,” katanya lagi,
Johorkini