SEGAMAT, 22 JUL: Masalah air terawat dan tekanan rendah yang sering mengakibatkan gangguan di empat kawasan Segamat iaitu Jementah, Buloh Kasap, Batu Anam dan Gemas Baru bakal selesai.
Adun Jementah, Tan Chen Choon berkata ia berikutan kerja-kerja bagi penyiapan tiga pakej projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Buloh Kasap.
Kata Tan, pakej pertama projek ini ialah membina Loji Rawatan Air di Buloh Kasap bagi membekalkan bekalan air terawat kepada tiga kawasan iaitu Buloh Kasap, Batu Anam dan Gemas Baru.
“Pakej ini telah siap pembinaan dan telah beroperasi sepenuhnya,” kata Tan dalam satu kenyataan.
Manakala projek pembinaan Stesen Pam Penggalak dan Tangki Air Kampung Alai, Jalan Muar, Segamat yang merupakan pakej kedua dengan kos RM13.59 juta.
“Status pakej ini juga siap pembinaan dan tarikh penyerahan kepada Ranhill SAJ Sdn Bhd jatuh pada Khamis, 23 Julai,” tambah Tan.
Sementara itu, dalam pakej kedua, tangki penyedut telah dibina untuk menyedut air daripada LRA Bukit Hampar, Segamat dan kemudian disalurkan ke Stesen Pam Penggalak Kampung Alai.
“Selepas itu, stesen pam tersebut akan menghantar air ke Tangki Air Kampung Alai untuk kegunaan penduduk-penduduk setempat di mukim Gemereh dan mukim Jementah.
“Saya juga difahamkan kapasiti keperluan air terawat bagi Mukim Gemereh dan Mukim Jementah adalah lapan juta liter dan tujuh juta liter masing-masing sehari,” tambah Tan yang juga bekas Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri.
Tambah beliau bagi pakej ketiga, kos RM13 juta telah disalurkan bagi kerja-kerja pemasangan paip air dari Stesen Pam Penggalak Kampung Alai ke Tangki N/V Jementah dan Loji Jementah dalam lingkungan sepanjang 19 kilometer.
“Pakej ini dijangka akan siap pada 1 Oktober 2020,” kata Tan yang berkesempatan melawat ke tapak bersama pihak Ranhill, kontraktor, mantan ahli Majlis, mantan ketua masyarakat Cina Kampung Baru Gemas Bahru, Buloh Kasap dan Batu Anam.
“Saya amat menghargai jasa baik dan komitmen daripada semua pihak.
“Projek ini telah memberi manfaat warga penduduk Segamat terutamanya penduduk di kawasan saya,” kata Tan lagi.
Johorkini