BATU PAHAT, 14 JUL: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) disaran mengutamakan pembinaan saluran paip air rangkaian ke rumah kediaman di kampung-kampung.
Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim berkata, ini kerana masih ada penduduk yang terpaksa menyambung paip bekalan air kediaman dari paip saluran utama di tepi jalan yang lokasinya agak jauh.
Malah, ada juga yang terpaksa merentas kebun-kebun sawit di beberapa kampung, termasuk di kawasannya dalam mukim Minyak Beku.
Justeru itu kata Khairuddin, sudah tiba masanya kerajaan menyediakan peruntukan secukupnya melalui KPLB untuk menyelesaikan isu yang berlarutan sekian lamanya.
“Mengapa kerajaan boleh sedia fasiliti seperti jalan lorong yang bertar dan sasalur bekalan elektrik namun tidak mampu menyediakan paip saluran air rangkaian di lorong-lorong kediaman yang memerlukannya?
“Pihak kami mendapat aduan yang banyak dari penduduk kampung yang mengeluh berkenaan fasiliti saluran paip air rangkaian tersebut dan ia membebankan mereka,” katanya.
Tambah Khairuddin, kediaman yang tiada bekalan air bersih berpuluh tahun disebabkan ketiadaan saluran paip air rangkaian khususnya di Mukim Minyak Beku.
Katanya, pembinaan saluran air rangkaian adalah di bawah bidang kuasa KPLB bukan SAJ Ranhill.
“Penduduk mengeluh menyatakan mereka terpaksa menyambug paip bekalan air kediaman dari saluran paip air utama di tepi jalan utama di kampung mereka. Perkara itu pasti menyukarkan hidup mereka,” tambah beliau.
Beliau berkata sistem pembekalan air di kawasan itu ketika ini tidak praktikal kerana mendatangkan pelbagai masalah selain penduduk terpaksa mengeluarkan kos sendiri.
“Untuk mendapatkan bekalan air yang baik dan sempurna, mereka terpaksa mengeluarkan modal untuk pemasangan paip yang tinggi.
“Ramai di antara penduduk yang tidak mampu menanggung kos berkenaan.
“Apa yang dihadapi penduduk adalah tekanan air rendah dan tidak mencukupi bagi kegunaan harian.
“Selain itu, ia juga terdedah dengan kebarangkalian berlaku kebocoran, kerosakan sepanjang paip bekalan dan akan membebankan pengguna,” katanya lagi.
Johorkini