BM | EN | 中文

Marsah Johor akan dinaik taraf sebagai kolej universiti

Marsah-Johor.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 14 JAN: Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) di sini akan dinaik taraf sebagai Kolej Universiti Islam Johor pada awal tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, usaha naik taraf itu kini berada di fasa terakhir bersama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Katanya, selepas dinaik taraf kelak, kolej universiti terbabit akan menjadi penghubung kemajuan pendidikan serta hubungan sosial antara negara-negara di Asia Tenggara dan Asia Barat.

Advertisement

“Hasrat penubuhan Marsah adalah seiring dengan manifestasi kerajaan Johor untuk melahirkan golongan graduan yang bertauliah.

“Justeru Marsah yang bakal dinaik taraf menjadi sebuah kolej universiti akan meningkatkan mutu dan sistem pendidikan Islam di negeri ini, khususnya di peringkat pengajian tinggi kerana merupakan teras penting dalam pembangunan dan kemajuan pendidikan Islam,” katanya, lapor SH Online.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen Kolej Pengajian Islam (Marsah) kali ke-20 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini semalam.

Advertisement

Hadir sama Rektor Marsah, Prof Madya Dr Hussin Salamon dan Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi.

Pada majlis istiadat itu seramai 835 graduan Marsah menamatkan pengajian masing- masing dalam pelbagai bidang dan pengkhususan.

Menurut Hasni, Marsah perlu menggiatkan lagi program melibatkan inovasi dan pembangunan dalam bidang industri halal, pembangunan al-Quran dan sunah, dakwah dan penyebaran ilmu Islam selain hal ehwal keluarga serta rumah tangga Islam.

Advertisement

“Marsah perlu mengorak langkah komprehensif serta diberikan peluang mengambil bahagian sebagai perintis kepada sebuah institusi pendidikan tinggi bagi melahirkan bakat dan kemahiran digital.

“Graduan Marsah sewajarnya mampu bersaing dalam pasaran kerja menerusi bakat dan kemahiran digital selari dengan kehendak dan keperluan global,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top