KULAI, 6 MEI: Orang ramai terutamanya yang tinggal di sekitar Kulai dipelawa untuk mendapatkan pelbagai pakaian yang diberikan secara percuma di ‘Kedai Baju Raya Muhibah’.
Pegawai khas ahli parimen Kulai, Marina Ibrahim berkata, program berkonsepkan pasar percuma itu bagi membantu mereka yang kurang kurang berkemampuan mendapatkan barangan keperluan masing-masing, terutamanya pakaian menjelang hari raya yang bakal tiba.
“Jom datang beramai-ramai dapatkan baju raya percuma. Jimatkan duit anda dalam berbelanja.
“Dapatkan kelengkapan raya anda secara percuma,” kata Marina dalam hantaran yang dimuatnaik ke laman facebook beliau.
Menurutnya, ‘Kedai Baju Raya Muhibah’ itu menyediakan barangan terpakai dalam keadaan baik seperti pakaian oang dewasa dan kanak-kanak, untuk lelaki dan wanita selain beg, kasut dan sebagainya.
Difahamkan, barangan tersebut disumbangkan oleh orang ramai yang dikumpulkan melalui pusat khidmat parlimen Kulai dan beberapa pertubuhan lain.
Kata Marina, walaupun kebanyakan barangan adalah terpakai namun mereka hanya menerima barangan yang selok dan masih boleh digunakan.
“Walaupun pakaian yang diberikan terpakai, namun kesemuanya masih cantik dan berkualiti,” kata Marina lagi.
Ujarnya, sambutan penduduk tempatan sangat baik dan mereka gembira apabila dapat memilih barangan mengikut keperluan masing-masing.
Kata Marina program yang diadakan kali ini adalah bagi tahun yang kelima dan terus mendapat sokongan daripada komuniti setempat, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.
“Jadi, mari dapatkan baju kurung lelaki , wanita, seluar dan baju kanak-kanak secara percuma.
“Mohon hebahkan, mudah-mudahan mereka yang kurang berkemampuan dapat beraya dengan pakaian yang cantik dan merasa nikmat seperti mana kita semua,” katanya.
Kedai Baju Raya Muhibah bertempat di No 58, Jalan Tropika 1, Taman Tropika, Kulai (sebelah Glanz Cafe) dan beroperasi dari jam 10.00 pagi sehingga jam 4.00 petang.
Johorkini