JOHOR BAHRU, 14 SEPT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor mematahkan cubaan membawa masuk konsainan buah limau mandarin seberat 1,248 kilogram (KG) menerusi Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, semalam.
Pengarahnya Nur Afifah A Rahman berkata barangan itu dibawa oleh seorang pemandu lori warga tempatan berusia berusia 47 tahun dari arah Singapura ke Malaysia di laluan kargo import lori BSI.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati buah limau mandarin jenis Honey Murcott bernilai RM12,480 itu dimuatkan di bahagian penyimpanan belakang lori jenis Mitsubishi Fuso.
“Ia didapati tidak mempunyai permit import yang sah yang dikeluarkan oleh MAQIS dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, dagangan tersebut didapati dibawa masuk untuk pasaran tempatan dan kegunaan sendiri.
Nur Afifah berkata dagangan tersebut dirampas untuk tindakan selanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Bernama