BM | EN | 中文

MANGSA BANJIR JOHOR TERKINI 9,043 ORANG

banjir-johor.jpg

JOHOR BAHRU, 15 DIS: Jumlah mangsa banjir di Johor kini berjumlah 9,043 orang sehingga jam 9.30 malam ini berbanding 5,592 orang pada jam 5 petang tadi.

Sebanyak 2,448 buah keluarga terjejas ditempatkan di 83 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di seluruh Johor.

Menurut Sekretariat Bilik Gerakan Bencana Negeri, sembilan daerah di negeri Johor terjejas akibat banjir iaitu Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing.

Kluang mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 2,611 orang, Kota Tinggi (2,552 orang), Mersing (1,267 orang), Johor Bahru (743 orang), Kulai (113 orang), Pontian (116 orang), Batu Pahat (38 orang), Muar (25 orang) dan Segamat (1,578 orang).

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengekalkan amaran cuaca bahaya (merah) di daerah Mersing dan Kota Tinggi.

Amaran cuaca buruk (Jingga) dikeluarkan untuk daerah Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, serta amaran waspada di Tangkak.

Antara jalan yang ditutup untuk semua kenderaan di Kota Tinggi ialah diantara Jalan Ladang Pasir Logok-Ladang Bukit Kelompok, Ladang Bukit Payong (Tenggaroh) dan Jalan Kg Mawai Lama.

Manakala jalan yang dibuka untuk kenderaan berat di Kota Tinggi ialah Jalan Mawai-Bukit Samsu, Jalan Mawai-Sedili, Selekoh Batu 19 Jalan Utama Kota Tinggi dan Batu 17 dan Batu 18.

Hanya satu jalan yang dibuka dengan satu laluan di Kota Tinggi iaitu di KM 10 Jalan Perani-Lok Heng .

Di daerah Mersing, terdapat laluan terjejas iaitu di Jalan Telok Ariong akibat tanah runtuh, namun dibuka untuk satu laluan dan hanya untuk kenderaan ringan.

Para pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati ketika melalui jalan yang dinaiki air dari terperangkap dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top