BM | EN | 中文

Mangsa banjir di Johor terus meningkat

banjir-segamat-johor.jpg

Gambar Ehsan FB Proton ES Team Auto 1S- Segamat

JOHOR BAHRU, 2 JAN: Jumlah mangsa banjir di Johor melibatkan tiga daerah terus meningkat kepada 1,827 orang pada jam 12 tengah hari berbanding 1,646 orang pada jam 8 pagi Ahad.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, jumlah tersebut melibatkan 466 keluarga dari Segamat, Tangkak dan Kota Tinggi.

Menurutnya, Kota Tinggi menjadi daerah terbaharu dilanda banjirdi negeri ini melibatkan 16 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Bukit Raja Darat.

“Kesemua mangsa ditempatkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia, Pengerang yang dibuka pada jam 7.30 pagi Ahad.

“Selain itu, tiga PPS baharu dibuka di Segamat pada pagi Ahad melibatkan Sekolah Agama (SA) Kuala Paya, Surau Kampung Lubuk Lanjut dan Bukit Limau Manis.

“PPS di SA Kuala Paya yang dibuka pada jam 8 pagi menempatkan 28 mangsa daripada tujuh keluarga dan PPS di Surau Kampung Lubuk Lanjut pula melibatkan 34 mangsa daripada tujuh keluarga,” katanya, lapor SH Online.

Beliau berkata, PPS di Bukit Limau Manis yang dibuka pada jam 11.20 pagi menempatkan enam mangsa daripada sebuah keluarga.

Dalam pada itu, Vidyananthan berkata, hujan akan melanda pada sebelah pagi dan tengah hari Ahad di Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Segamat, Pontian, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Tangkak dan Kulai.

“Bahagian Pengurusan Zon Pantai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga melaporkan fenomena air pasang besar dijangka pada Ahad hingga Rabu ini.

“Semua penduduk di kawasan berisiko khususnya di Batu Pahat dan Pontian diminta berwaspada dan bersedia untuk berpindah ke tempat selamat,” katanya.

Katanya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan bekalan makanan di semua PPS selain mengingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top