JOHOR BAHRU, 21 DIS: Seramai 613 mangsa di daerah Segamat dan Batu Pahat masih ditempatkan di 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat terjejas dengan banjir, setakat jam 4 petang tadi.
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata seramai 576 mangsa daripada 136 keluarga di Segamat masih di tempatkan di 12 PPS di daerah tersebut.
“Manakala di Batu Pahat pula, seramai 37 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah itu,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, di sini.
Kenyataan itu turut memaklumkan setakat ini, 94 PPS ditutup manakala 14 pusat lagi masih dibuka untuk menempatkan 143 buah keluarga dari dua daerah tersebut.
“Di Segamat, PPS yang dibuka adalah di Balairaya Gemereh III, Balairaya Kampung Balai Badang, Balairaya Gemereh IV (Batu Badak), Kompleks Penghulu Pogoh, Sekolah Kampung Spang Loi, Dewan Kampung Tandong Buloh Kasap dan Balai Raya Kampung Padang Kiambang Batu Anam.
“Mangsa di daerah itu juga ada yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Kuala Paya, Balai raya Kampung Sanglang, Sekolah Agama Buloh Kasap, Balairaya Kampung Bukit Tunggal dan Pusat Pemindahan Banjir Pogoh Tengah,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, manakala di daerah Batu Pahat pula, dua PPS yang dibuka adalah di Sekolah Agama Seri Chomel dan Balairaya Kampung Peserai Lama.
Johorkini