BM | EN | 中文

Mangsa banjir di Johor berkurangan

banjir.jpg

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor menurun sedikit pagi ini manakala Pahang dan Melaka merekodkan jumlah sama.

Di Johor, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,714 orang berbanding 3,770 individu petang semalam.

Beliau berkata empat daerah masih terjejas banjir melibatkan 1,063 keluarga yang ditempatkan di 47 PPS dengan Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,679 orang, diikuti Muar (1,190), Tangkak (712) dan Batu Pahat (133).

“Cuaca di seluruh negeri ketika ini dilaporkan cerah termasuk daerah yang terjejas banjir,” katanya, lapor Bernama.

Sementara itu, beliau berkata empat sungai kekal melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar; Sungai Muar di Panchor, Muar; dan Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan seramai 301 mangsa banjir masih berada di lapan PPS setakat pagi ini, tidak berubah dari malam tadi.

Daerah Pekan mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 161 orang diikuti Rompin 79 orang dan Maran dengan 61 orang.

Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca baik di Pekan dan Rompin sepanjang hari manakala Maran dijangka mengalami hujan di sesetengah kawasan pada tengah hari ini.

Di Melaka, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, mangsa banjir di Melaka kekal 341 orang daripada 91 keluarga pagi ini dengan semuanya masih ditempatkan di tiga PPS di Jasin.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top