BM | EN | 中文

Mangsa banjir di beberapa negeri berkurang, Johor, Pahang catat peningkatan

banjir.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Situasi banjir di beberapa negeri bertambah baik pada petang ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan mencatatkan penurunan.

Di TERENGGANU, keadaan banjir bertambah baik apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 117 orang setakat 3 petang ini berbanding 1,074 orang, pada 8 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Che Adam A. Rahman berkata ketika ini hanya Kemaman yang masih terjejas banjir dengan lima pusat pemindahan masih beroperasi di daerah itu.

Advertisement

“Banjir di Dungun pula pulih sepenuhnya apabila tiga pusat pemindahan iaitu Kampung Shukor, Kampung Pasir Raja dan Kampung Minda ditutup secara rasmi pada 10 pagi tadi.

“Bagaimanapun, amaran cuaca waspada masih berkuat kuasa untuk enam daerah iaitu Setiu, Besut, Hulu Terengganu, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus,” katanya kepada pemberita hari ini.

Situasi sama di PERAK apabila jumlah mangsa terjejas berkurang daripada 1,237 pagi tadi kepada 630 orang setakat pukul 2 petang ini.

Advertisement

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, semua penduduk ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di tiga daerah terjejas iaitu Hilir Perak (515), Muallim (82) dan Kampar (33) manakala enam pusat pemindahan lagi telah ditutup iaitu tiga di Muallim serta masing-masing satu di Hilir Perak, Kampar dan Kuala Kangsar.

Portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan hanya Sungai Perak di Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah telah mencecah paras amaran iaitu 6.79 meter setakat pukul 2 petang ini.

Banjir di SELANGOR juga semakin pulih apabila dua daripada empat pusat pemindahan iaitu Balai Raya Kampung Baru A dan Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Selisik di daerah Hulu Bernam yang dibuka pada Ahad lepas ditutup tengah hari tadi.

Advertisement

Jurucakap Smart Selangor Command Centre (SSCC) memaklumkan sebuah lagi pusat pemindahan di Hulu Bernam iaitu Balai Raya Kampung Alah Batu, Gedangsa masih beroperasi dan menempatkan 13 mangsa, manakala 55 mangsa lagi ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang di Kuala Selangor.

Banjir di KELANTAN juga semakin pulih selepas pusat pemindahan di jajahan Gua Musang yang dibuka sejak semalam menamatkan operasi sepenuhnya hari ini.

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Jajahan Gua Musang Muhd Nasriuddin Asman berkata kesemua PPS yang menempatkan 78 mangsa daripada 18 keluarga pada pagi tadi ditutup pada 2.30 petang tadi.

Advertisement

“Alhamdulillah, keadaan cuaca dilihat semakin bertambah baik selain air banjir juga sudah surut dan mangsa selamat untuk pulang ke rumah masing-masing. Bagaimanapun, pihak kami tetap bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, mengikut laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/, rekod bacaan paras air Sungai Kelantan di beberapa kawasan di negeri ini merekodkan bacaan melepasi paras amaran dengan trend menaik iaitu di Kampung Temangan, Machang pada paras 16.51 meter (m) (amaran 15.5 m), di Tangga Krai (Kuala Krai) 24.2 m (amaran 22.5 m) dan Kusial Baru di Tanah Merah 14.78 m (amaran 14 m).

Bagaimanapun, di JOHOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,499 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 5,485 orang pada 8 pagi tadi berikutan berlaku peningkatan mangsa di daerah Mersing.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata jumlah mangsa di daerah Mersing meningkat sebanyak 19 orang manakala di Segamat berlaku penurunan jumlah mangsa seramai lima orang berikutan sebuah pusat pemindahan di balai raya di Jalan Pemuda ditutup pada pukul 9.30 pagi tadi.

“Ini menjadikan jumlah mangsa di daerah Mersing sebanyak 506 orang manakala di Segamat dengan 107 orang. Bagaimanapun, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah tertinggi dengan 2,707 mangsa, diikuti Kluang dengan 1,950 mangsa.

“Setakat ini, jumlah keseluruhan pusat pemindahan yang dibuka adalah sebanyak 52 buah dengan 23 pusat pemindahan di Kota Tinggi, Kluang (12), Johor Bahru (1), Mersing (enam), Segamat (lima) dan Pontian (tiga) dan dua di Batu Pahat.

Advertisement

Vidyananthan berkata beberapa jalan masih ditutup termasuk di Jalan Kota Tinggi-Mersing (Kubu), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Risda), Jalan Kota Tinggi- Kluang (Tun Habab), Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas (Jambatan Sungai Semalok).

Turut ditutup, Jalan Haji Suhud Taman Muhibbah di Johor Bahru akibat jambatan Runtuh dan Jalan Nitar Utama-Kluang (Pam minyak Nitar 2) dan Jalan Nitar Utama- Kluang (Simpang tiga Kahang ke Kluang).

Sehingga kini jumlah kematian lemas akibat banjir di Johor adalah seramai tiga orang.

Advertisement

Situasi sama turut berlaku di PAHANG apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 17,747 orang dan berada di 238 pusat pemindahan sementara di 10 daerah.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Maran masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,553 orang diikuti Kuantan (3,255), Lipis (2,389), Raub (2,190) dan Jerantut (1,828).

Turut dilanda banjir ialah Temerloh (1,988), Rompin (1,006), Pekan (273), Bera (144) dan Bentong (121).

Advertisement

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad dalam kenyataan memaklumkan laluan di KM84.6-KM84.7 di Lanchang menghala Kuala Lumpur telah dibuka mulai 9 pagi, selepas ditutup sejak malam Ahad manakala KM113 masih ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air sejak 9 malam tadi.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top