JOHOR BAHRU, 5 NOV: Cadangan pemberian pas sementara kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) oleh kerajaan perlu ditolak, sebaliknya tenaga kerja tempatan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Naib Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Johor, Norhayati Bidin berkata, kekosongan kerja yang ada perlu mengutamakan pekerja tempatan.
“Kerajaan perlu juga menyediakan insentif kepada pekerja tempatan serta menyediakan pelan untuk membina keupayaan pekerja tempatan.
“Dalam hal lain penyelarasan gaji yang setimpal juga perlu dikemuka oleh kerajaan untuk pekerja tempatan di negara ini.
“Saya yakin dalam keadaan yang mendesak, pekerja negara kita boleh melakukan apa sahaja kerja bagi memulihkan ekonomi hidup mereka,” kata Norhayati ketika dihubungi.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menguatkuasakan dasar untuk tidak membenarkan kontrak atau permit pekerja pekerja warga asing disambung sebaliknya menggantikan kekosongan itu dengan pekerja tempatan.
“Ini sekali gus, akan mengurangkan pengaliran ringgit Malaysia ke negara luar,” katanya.
Norhayati turut mengesyorkan agar usaha bersepadu dari semua pihak berkuasa bagi membendung lambakan PATI di negara ini.
“Kerajaan juga perlu mengambil tindakan serius kepada mana-mana pihak yang melindungi PATI di negara ini,” ujarnya lagi.
Johorkini