JOHOR BAHRU, 6 JUN: Pakatan Harapan (PH) Johor mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penggunaan klinik kesihatan dan desa sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) sementara.
Selain itu, PH Johor menambah, kerajaan boleh menggunakan premis-premis komuniti seperti rumahrumah ibadat atau dewan serbaguna untuk kemudahan warga luar bandar serta institusi pengajian tinggi dan swasta.
“Pakatan Harapan Johor mengulangi desakan agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini ditambah segera bagi membantu meningkatkan kadar vaksinasi rakyat.
“Ia boleh dilakukan melalui penghantaran operasi trak vaksinasi bergerak sepertimana diumumkan oleh Menteri Khairy Jamaluddin, membenar dan mengoptimumkan peranan klinik kesihatan/desa sebagai PPV sementara.
“..pertimbangkan segera penggunaan premis-premis komuniti seperti rumah-rumah ibadat atau dewan serbaguna untuk kemudahan warga luar bandar serta kemungkinan penggunaan institusi-institusi pengajian tinggi/swasta yang bersesuaian,” menurut kenyataan PH Johor.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Ketua Pembangkang DUN Johor, Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dalam kenyatannya semalam mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset kerajaan bagi mempermudahkan rakyat akses kepada vaksin.
PH Johor berkata, meskipun wajar namun pengumuman itu amat perlahan.
“Dalam fasa ‘perang’ melawan Covid-19 ini, kerajaan harus bertindak segera.
“Ini belum lagi mengambil kira penggembelengan pihak swasta sepertimana beliau umumkan dahulu, pengumuman kerahan aset kerajaan pada kali ini dilihat seolah-olah ‘better late than never’.
“Dari rungutan akar umbi yang diterima oleh wakil-wakil rakyat PH Johor, kekurangan PPV menyebabkan smereka terpaksa berhadapan jarak yang jauh untuk penuhi temujanji vaksinasi,” ujarnya.
PH memberikan contoh, seperti ketiadaan PPV di Labis menyebabkan jarak perjalanan ulang alik sejauh lebih kurang 60km harus diambil untuk ke PPV di Segamat.
“Dari Yong Peng ke PPV di Batu Pahat, Paloh ke PPV di Kluang, dan Gemas Baharu ke PPV di Dewan Sebaguna Buloh Kasap, juga
terpaksa mengambil jarak ulang alik sekitar 60km.
“Keadaan ini menyukarkan rakyat. Bahkan ada sebahagian mereka yang telah mendapat tarikh temujanji tidak dapat memenuhi temujanji yang ditetapkan,” katanya.
Johorkini