BM | EN | 中文

MANFAAT BUAT PENJAJA DAN PENIAGA TANJUNG PIAI

ks2-1.jpg
Advertisement

Oleh: Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim

Kerajaan Negeri Johor telah melaksanakan janji manifesto terhadap penjaja di negeri Johor. Janji manifesto Pakatan Harapan adalah untuk memansuhkan bayaran lesen bagi penjaja kecil. Pelaksanaan bermula pada 1 September 2018 dan memberi manfaat kepada lebih 20,000 penjaja kecil dibawah 16 Pihak Berkuasa Tempatan.

Menurut sumber dari Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Daerah Pontian, seramai 717 orang penjaja yang menjalankan perniagaan dikawasan Tanjung Piai telah berdaftar. Para penjaja ini telah menerima manfaat tidak perlu membayar lesen penjaja kecil. Ini memberi satu rangsangan kepada mereka untuk terus berusaha memajukan perniagaan mereka dan meningkatkan pendapatan daripada hasil jualan.

Advertisement

Pelbagai aneka jenis makanan dan minuman merupakan produk jualan yang paling banyak yang dijual oleh penjaja kecil. Para pengunjung di Tanjung Piai boleh memperoleh pelbagai aneka makanan dan minumam di kawasan tepi laut bandar Pontian, Pekan Nanas, pekan Kukup dan kawasan-kawasan pelancongan di Tanjung Piai yang dikenali sebagai kawasan penghujung benua Asia.

Antara produk makanan yang paling terkenal adalah Lekor Chip, Kopi Tenggek, Burasak, Lepat Loi, Asam Pedas dan pelbagai makanan tradisional Melayu Johor, Bugis serta Jawa. Tidak juga dilupakan terdapat juga jualan makanan seperti burger, oblong dan roti john.

Bersempena dengan pilihanraya kecil P165 Tanjung Piai, hasil jualan para penjaja telah meningkat. Peluang ini diambil oleh para penjaja meningkatkan promosi mereka melalui penampilan produk dan pakej yang lebih menarik; menggandakan masa berniaga; dan promosi melalui media digital. Ini menjadikan mereka lebih berdaya untuk bersaing secara sihat.

Advertisement

Terdapat dikalangan penjaja telah menggunakan jaringan media digital untuk melakukan promosi produk meraka. Menyediakan infografik dan video yang menarik untuk disebarluaskan kepada kumpulan-kumpulan media digital.

Terdapat penjaja menerima tempahan melalui media digital dan pelanggan hanya datang dan tidak menunggu terlalu lama untuk mengambil pesanan mereka. Antara aplikasi yang digunakan adalah WhatsApp, Telegram, dan Facebook. Ini adalah kreativiti dan inovasi dikalangan penjaja yang harus terus digilap oleh pihak kerajaan supaya produk mereka boleh dipasarkan lebih meluas.

Kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif untuk memastikan pemasaran produk oleh penjaja boleh diperluaskan melalui media digital. Latihan untuk mengenai pemasaran melalui media digital ini disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Kementerian Pembangunan Usahawan; Pusat Pembangunan Perniagaan Pertanian dan Makanan (Agri-BDC) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB), Kerajaan Negeri Johor serta pelbagai lagi agensi kerajaan diperingkat Daerah seperti Yayasan Majlis Daerah Pontian dan sebagainya. Initiatif-initiatif ini boleh diperolehi melalui pejabat-pejabat kerajaan di Daerah Pontian.

Advertisement

Secara khususnya penjaja boleh menperolehi latihan yang khusus untuk perniagaan secara digital dan atas talian melalui kursus e-Usahawan dan e-Rezeki yang dilaksanakan oleh MDEC. Kursus ini memberi pendedahan kepada para penjaja untuk menyediakan bahan pemasaran untuk produk supaya lebih menarik untuk disebarluaskan dimedia digital atau media sosial, memberi latihan berkaitan kaedah terbaik untuk memasarkan produk secara atas talian dan penampilan produk dan pakejyang lebih menarik. Maklumat ini boleh diperolehi melalui lawan sesawang MDEC iaitu www.mdec.my. Bagi tujuan tersebut kerajaan persekutuan memperuktukan sebanyak RM10 juta dalam belanjawan 2020 untuk melatih usahawan yang menggunakan teknologi digital untuk mengembangkan perniagaan.

TEKUN menyediakan pelbagai skim pembiayaan untuk memberi bantuan modal kepada penjaja. Bagi TEKUN, bantuan modal sebanyak RM5000 boleh diperolehi dengan mudah dalam tempoh dua (2) minggu sekiranya memenuhi syarat seperti dokumen perbankan dan maklumat perniagaan. TEKUN juga menyediakan bantuan modal secara berkelompok yang boleh dimanfaatkan oleh kumpulan penjaja-penjaja. Bantuan modal oleh TEKUN juga boleh diperolehi sehingga RM100,000 dengan syarat-syarat tertentu. Maklumat boleh diperolehi melalu Pejabat TEKUN Kawasan Tanjung Piai Pontian.

MARA pula mempunyai menyediakan pelbagai program bantuan modal bagi tujuan memulakan perniagaan dan mengembangkan perniagaan. Antara bantuan modal yang disediakan adalah Skim Pembiayaan Kontrak Ekpres, Skim Pembiayaan Usahawan Bergerak, Skim Perniagaan Mudah Jaya, Skim Perniagaan Khas Wanita dan pelbagai lagi. Skim pembiayaan yang disediakan untuk penjaja dan perniaga kecil sehingga RM500,000.

Advertisement

Terdapat juga bantuan yang disediakan oleh FAMA yang boleh membantu penjaja buah-buahan secara langsung di Tanjung Piai iaitu program Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS). Program ini bertujuan untuk memperluaskan pasaran buah-buahan tempatan dan membantu perniaga dalam menghadapi isu lambakan. Bantuan disediakan untuk membentuk imej dan peralatan. Bantuan untuk usahawan baru adalah sebanyak RM15,000 dan bantuan naik taraf gerai sebanyak RM10,000. Bantuan ini boleh diperolehi melalui Pejabat FAMA Daerah Pontian.

Geran Orang Lokal diperkenalkan pada tahun 2019 oleh Kerajaan Negeri Johor. Geran ini diberikan kepada penjaja, usahawan dan peniaga kecil untuk membantu mengembangkan perniagaan. Geran diberikan sehingga RM20,000. Geran ini menjadi bualan rakyat Johor. Inisiatif ini sangat membantu penjaja. Agihan pertama telah diagihkan melalui Karnival Temu Pakat Usahawan di Pontian pada 25 Oktober 2019 dan disempurnakan oleh YB Sheikh Umar Bagharib, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Program ini dijangka diteruskan dengan peruntukan yang lebih banyak untuk membantu penjaja dan pengusaha.

Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Pelbagai pembaharuan dan ketelusan dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan supaya inisiatif untuk membangunkan golongan perniaga dan penjaja kecil sampai ke golongan sasar. Seharusnya para penjaja kecil mengambil peluang untuk meningkatkan keupayaan.

Advertisement

Bersempena dengan pilihanraya kecil Tanjung Piai, berdasarkan pencapaian yang baik, sokongan perlu diberikan untuk kerajaan terus menyediakan program membantu rakyat. Sokongan juga sangat penting supaya kesinambungan program pembangunan yang dikecapi oleh penduduk Tanjung Piai boleh disalurkan dengan sempurna.

Johorkini

Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim bertugas di Media and Game Innovation Center of Excellence (MaGICX), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Advertisement

Beliau juga merupakan anggota Lembaga Pengarah Digital Johor

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top