SEGAMAT, 21 JUL: Adun Jementah, Tan Chen Choon menggesa Perdana Menteri (PM), Muhyiddin Yassin menunaikan janjinya untuk menambah Bantuan Bulanan Kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000.
Katanya PM pernah berjanji akan meningkatkan jumlah Bantuan Bulanan Kewangan JKM sedia ada iaitu diantara RM200 hingga RM300 kepada kadar baharu iaitu RM1,000 pada bulai Ogos tahun lepas.
“Tetapi ia hanya “cek kosong” sahaja. janji tidak ditunaikan. Sebagai ketua pentadbiran negara, PM patut menunaikan janji beliau.
“Jangan kecewakan rakyat dan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap beliau.
“Saya percaya status kewangan negara berkemampuan untuk pertambahan perbelanjaan RM1 billion setahun dengan pelaksanaan janji tersebut,” kata Tan dalam satu kenyataan hari imi.
Mengikut rekod, Muhyiddin pada Disember 2020 telah memberi jaminan untuk menaikkan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 sebulan, berbanding RM200 hingga RM300 sebelum ini.
Katanya, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan B40 juga termasuk dalam kumpulan masyarakat yang akan mendapat faedah daripada kenaikan itu.
Dalam pada itu Tan menambah, menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Julai 2021, nilai penengah (median) gaji dan upah bulanan ialah RM2,062 pada tahun 2020 dan 2019 (RM2,442).
Manakala nilai purata (mean) gaji dan upah bulanan ialah RM2,933 pada tahun 2020 dengan tahun 2019 (RM3,224).
“Dalam konteks ini, nilai penengah gaji dan upah bulanan mencatatkan penurunan sebanyak 15.6 peratus.
“Ini bermaksud jurang antara penduduk miskin dan kaya telah ditingkatkan dan golongan B40 pasti sudah beranjak kepada golongan B50 bahkan golongan B60.
“Justeru, kerajaan wajib mengambil tindakan secepat mungkin untuk mengurangkan jurang kemiskinan penduduk bagi mengelakkan berlakunya masalah sosial yang lebih banyak,” kata Tan.
Tambahnya lagi, statistik itu hanya bandingan, namun kini, pandemik Covid-19 telah berlaku lebih satu setengah tahun dan situasi tahun ini lebih teruk dan berterusan.
“Aktiviti ekonomi dan komersial juga terpengaruh, serta kadar pengangguran telah mencatatkan positif 4.8 peratus.
“Walaupun penduduk telah mendapat pelbagai jenis bantuan tunai, namun perbelanjaan harian masih menjadi beban kepada penduduk,” katanya lagi.
Tambah beliau, kerajaan harus melakukan pembetulan dan penyesuaian dalam polisi perbendaharan, memperluas perbelanjaan, memperluas aliran tunai di pasaran bagi mendorang pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya menggesa lagi supaya kerajaan meningkatkan Bantuan Kewangan Bulanan JKM kepada RM1,000 sepertimana dijanjikan,” katanya lagi.
Johorkini