BM | EN | 中文

Malaysia jangka terima tuntutan pampasan penamatan projek HSR dari Singapura akhir Januari

myHSR.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Malaysia dijangka menerima tuntutan pampasan penamatan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dari Singapura dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, bagaimanapun jumlah tuntutan itu perlu disahkan dan dipersetujui oleh kedua-dua negara.

“Ketika ini kami masih menunggu Singapura menyerahkan tuntutan itu kepada kami. Sebaik sahaja ia dikemukakan, kami akan melaksanakan usaha wajar bagi memastikan tuntutan itu adalah munasabah dan dapat disahkan,” katanya dalam taklimat media hari ini.

Advertisement

Pada awal minggu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia berpandangan bahawa jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura susulan penamatan projek HSR adalah jauh lebih rendah daripada S$270 juta (kira-kira RM820.76 juta) yang dibelanjakan oleh Singapura.

Mohd Nur Ismal mengulangi bahawa pampasan itu bukanlah denda, sebaliknya bertujuan membayar balik kepada Singapura kos projek yang telah dibelanjakan, namun tidak dapat digunakan.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan tidak komited atau memuktamadkan sebarang projek termasuk spekulasi bahawa projek kereta api laju Kuala Lumpur-Johor Bahru bagi menggantikan HSR KL-Singapura.

Advertisement

“Kita memerlukan satu kajian yang teliti mengenai mana-mana projek yang akan menggantikan projek HSR KL-Singapura yang boleh dilaksanakan sendiri,” katanya.

Beliau menambah, kajian itu dijangka bermula tidak lama lagi dan berharap dapat dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

“Tetapi ia bergantung kepada seberapa banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya.

Advertisement

Ditanya mengenai kemungkinan untuk Malaysia dan Singapura mempunyai satu lagi projek seperti HSR pada masa akan datang berikutan pembatalan projek tersebut, Pengerusi MyHSR Corp Tan Sri Esa Mohamed berkata Malaysia akan terus meninjau pilihan untuk meningkatkan kesalinghubungan HSR, termasuk Singapura menyertai semula HSR di masa akan datang.

“Perkara pada masa ini ditamatkan. Jadi, sekiranya terdapat sebarang projek pada masa akan datang, ia akan diletakkan di bawah perjanjian baharu,” kata Esa.

Pada 1 Jan 2021, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama mengumumkan bahawa projek HSR sepanjang 350 kilometer telah ditamatkan apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Dis 2020.

Advertisement

Menteri Pengangkutan Singapura Ong Ye Kung dilaporkan berkata penyingkiran Assets Company (AssetsCo) sebagai pembekal sistem dan operator rangkaian projek itu telah menjadi kebimbangan utama Singapura dalam perbincangan mengenai perubahan yang dicadangkan Malaysia.

Sebelum ini Mustapa dilaporkan berkata kerajaan berupaya melakukan penjimatan jumlah jaminan kerajaan sehingga RM60 bilion dalam tempoh 30 tahun apabila tidak menggunakan perkhidmatan AssetsCo.

MyHSR Corp merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang diperbadankan pada 2015 dan bertanggungjawab untuk pembangunan dan pelaksanaan projek itu.

Advertisement

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top