JOHOR BAHRU, 11 SEPT: Kerajaan negeri Johor kini berhati-hati dan akan memastikan kontraktor pembinaan yang benar-benar berkemampuan diberikan tender pembangunan di negeri ini bagi mengelakkan projek terbengkalai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata antara projek terbengkalai di bandar raya ini adalah pembinaan makmal patologi di Hospital Sultanah Aminah yang bernilai RM42 juta.
Katanya, kebanyakan syarikat pembinaan itu mengalami kelewatan projek sehingga beberapa bulan melibatkan projek bernilai puluhan juta ringgit.
Namun menurut Solihan kerajaan negeri telah menamatkan kontrak beberapa syarikat dan membuka semula kontrak baharu kepada syarikat kontraktor berwibawa selain memberi amaran kepada mereka yang terlibat.
“Kita tidak boleh teruskan keadaan sebegini dan sehubungan itu, saya menyeru syarikat-syarikat pembinaan supaya lebih serius dalam perniagaan masing-masing, meningkatkan kewangan mereka dan memastikan pengurusan kakitangan dilakukan dengan cekap.
“Kami (kerajaan negeri) menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka, tetapi ada yang sub projek yang diperolehi itu kepada syarikat lain sekali gus menimbulkan masalah,” kata Solihan.
Bernama melaporkan beliau sebagai berkata, agensi-agensi terlibat dalam penilaian tender diharapkan bersikap tegas terhadap syarikat yang tidak mempunyai kemampuan kewangan.
Turut terbengkalai adalah pembinaan sebuah jambatan di Plentong bernilai RM21 juta dan dua sekolah di Taman Perling bernilai lebih RM20 juta di mana syarikat kontraktor terlibat sudah diberikan amaran.
Johorkini